[VIDEO] PATI menyamar jadi pelanggan elak dicekup

Iklan

KUALA LUMPUR – Taktik menyamar sebagai pelanggan digunakan warga asing bagi mengelak dicekup pihak berkuasa dalam operasi bersepadu di sekitar premis runcit dan makanan di Brickfields pada Rabu.

Dalam operasi hasil inisiatif Kita Gempur, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyerbu beberapa premis perniagaan melibatkan sektor makanan dan runcit yang dipercayai menggaji warga asing tanpa dokumen sah.

Iklan
Iklan

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat warga asing yang berpura-pura menjadi pelanggan dan ada juga yang mendakwa hanya ingin membantu rakan mereka ketika serbuan dilakukan.

"Siasatan lanjut mendapati mereka menyalah guna pas lawatan kerja sementara dan berada di premis terbabit tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Iklan

"Kami dapati taktik menyamar sebagai pelanggan digunakan untuk mengaburi pihak berkuasa, namun ia gagal menyelamatkan mereka daripada tindakan undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas operasi berakhir pada Rabu.

Antara warga asing yang ditahan dalam bersepadu di sekitar premis runcit dan makanan di Brickfields pada Rabu.

Menurut beliau, seramai 17 individu termasuk dua majikan ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Iklan

"Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah di bawah Seksyen 6(1)(c), tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c) dan menyalah guna syarat pas seperti diperuntukkan di bawah Peraturan 39(b).

"Dua majikan pula disiasat kerana melindungi pekerja asing tanpa kebenaran yang sah mengikut Seksyen 56(1)(d) akta sama," katanya.

Tambah beliau, salah satu daripada lapan premis yang diperiksa turut mempunyai kemudahan seperti hostel di bahagian belakang yang dipercayai digunakan untuk menempatkan pekerja asing.

"Tindakan susulan akan diambil dalam masa terdekat bagi memastikan semua aspek penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh," katanya.

Wan Mohammed Saupee turut menegaskan bahawa setiap warga asing yang berada di negara ini mesti mempunyai dokumen yang sah.

"Majikan diingatkan agar memastikan pekerja mereka mempunyai dokumen lengkap dan tidak melindungi pekerja asing tanpa kebenaran.

"Kami mengingatkan semua pihak agar mematuhi undang-undang, inisiatif ‘Kita Gempur’ menekankan prinsip tindakan yang cepat, menyeluruh dan berkesan,” ujarnya.