KUALA KANGSAR - Pesta Pelita Panjut anjuran McDonald’s Malaysia bersama Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) dan Persatuan Penggemar Panjut Kampung Ribu berjaya menyemarakkan semangat tradisi Malam Tujuh Likur sekali gus mengeratkan hubungan kemasyarakatan dengan komuniti setempat.
Acara tersebut dilaksanakan bersempena penutup Program Kongsi Rezeki Ramadan dengan menyerlahkan keunikan tradisi masyarakat tempatan dalam menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan melalui binaan pelita panjut gergasi yang bertemakan seni bina Alam Melayu dan Islam.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatannya, Datuk Azmir Jaafar berkata, usaha itu bertujuan meningkatkan semula populariti budaya pemasangan pelita panjut gergasi selain menggalakkan penyertaan dari segenap lapisan umur, terutamanya generasi muda sebagai penerus warisan pada masa akan datang.
Menurutnya, mereka tampil menganjurkan semula pertandingan pelita panjut dan mendapat penyertaan komuniti desa dari enam kampung lain di sekitar Kampung Ribu, sama ada secara individu mahupun berkumpulan.
"Sebagai syarikat tempatan, McDonald’s Malaysia ingin menjadi sebahagian yang menyokong dan membangunkan komuniti setempat melalui pelbagai inisiatif termasuk memperkasakan budaya tradisi kita.
"Pesta Pelita Panjut ini dijadikan salah satu inisiatif utama dalam Program Kongsi Rezeki Ramadan kerana ia bertepatan dengan teras syarikat untuk mencipta detik bermakna kepada komuniti dan memberi impak positif seperti mengeratkan hubungan antara masyarakat dan keluarga,” katanya baru-baru ini.
Tawar hadiah yang menarik
Mengulas lanjut, menurut Azmir, pesta yang berlangsung di padang Sekolah Kebangsaan Ulu Ribu, Kampung Ribu menyaksikan ribuan pengunjung membanjiri lokasi untuk menyaksikan persembahan reka bentuk pelita panjut selain memberi sokongan kepada para pemenang.
Majlis tersebut turut meraikan pemenang daripada 10 peserta Kategori Individu, 10 kumpulan Kategori Rumah dari penduduk Kampung Ribu dan enam kumpulan Kategori Kampung-Kampung Lain, dengan tawaran hadiah wang tunai.
Jelasnya, penganjuran program itu turut mendapat sokongan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Kangsar, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar serta Pejabat RELA Daerah Kuala Kangsar.
Tambah beliau, McDonald’s Malaysia bersama TKHM turut mengunjungi Masjid Kampung Ribu, Kuala Kangsar pada sebelah petang bagi meneruskan usaha menyantuni komuniti dalam misi menjelajah 400 masjid dan surau dalam Program Kongsi Rezeki Ramadan tahun ini.
"Sebanyak 50 Kotak Rezeki telah disumbangkan kepada keluarga yang memerlukan bagi meringankan beban mereka pada Ramadan ini.
"Program Kongsi Rezeki Ramadan yang bakal melabuhkan tirai pada Ramadan ini telah bermula sejak Februari yang lalu dengan misi menjelajah ke 400 masjid dan surau menerusi lebih 370 restorannya di seluruh negara.
"Antara sorotan dalam program kali ini adalah menyumbangkan 80,000 moreh Mekdi, mengedarkan 16,000 bekas bubur lambuk, menyantuni 500 komuniti dengan Kotak Rezeki serta bergotong-royong membersihkan 50 masjid dan surau sebelum Ramadan,” ujarnya.
Terus santuni masyarakat
Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Koporatnya, Shamsidar Yahya berkata, sebagai syarikat tempatan, McDonald's Malaysia akan sentiasa mengambil inisiatif untuk menyantuni dan memberi impak positif kepada komuniti setempat.
Menurutnya, menerusi inisiatif tersebut telah menggalakkan penyertaan dari beberapa kampung berdekatan selain dari Kampung Ribu.
"Pesta Pelita Panjut membawa kelainan kepada Program Kongsi Rezeki Ramadan. Selalunya McDonald’s mengedar Kotak Rezeki di masjid dan surau, tetapi kali ini kami bersama masyarakat meningkatkan semula populariti tradisi pelita panjut dalam menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan.
"Kami difahamkan kemeriahan pertunjukan panjut di Kampung Ribu, di sini, merupakan satu tradisi sempena Malam Tujuh Likur.
"McDonald’s Malaysia menaja sambutan ini dengan menyediakan hadiah untuk 25 pemenang. Kami juga berharap dapat memberi pengalaman yang menggembirakan bagi pengunjung melihat kemeriahan pelita panjut seperti ini,” jelasnya.
Hidupkan tradisi pelita panjut
Sementara itu, menurut Pengerusi Persatuan Penggemar Panjut Kampung Ribu, Amirruddin Mohd Lazim, usaha syarikat korporat untuk mempopularkan budaya pemasangan pelita panjut gergasi selain membantu menggalakkan generasi muda meneruskan warisan tersebut.
Beliau berkata, Pesta Pelita Panjut merupakan tradisi masyarakat Kampung Ribu sejak tahun 1960 dan sehingga kini masih diwarisi oleh penduduk setempat.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada McDonald’s Malaysia dan TKHM kerana mengembalikan pertandingan pelita panjut pada tahun ini."Sebenarnya, usaha ini bukan mudah kerana hanya sebilangan masyarakat yang masih menghargainya dan minat dalam kalangan anak muda juga semakin menurun,” katanya.