KUALA LUMPUR - Polis akan merakam keterangan Ketua Pengarang dan Timbalan Ketua Pengarang sebuah akhbar berbahasa Cina berkaitan kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa bulan sabit.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, proses berkenaan dijalankan susulan siasatan awal mendapati kedua-dua individu itu yang meluluskan gambar berkenaan selain salah seorang merupakan pereka grafik gambar terbabit.
"Setakat ini, semakan dilakukan mendapati sebanyak 40 laporan polis diterima berhubung kes ini.
"Proses merakam keterangan itu akan dijalankan di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman hari ini (Khamis)," katanya.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan siasatan telah dimulakan polis terhadap akhbar terbabit.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai ilustrasi Jalur Gemilang itu diletakkan bersebelahan bendera China.
Dalam pada itu, akhbar berbahasa Cina itu tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang pada muka hadapan akhbar itu.
Dalam satu kenyataan, agensi media berkenaan menjelaskan bulan sabit tidak kelihatan dalam ilustrasi tersebut disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Pindaan segera sudah dilakukan terhadap ilustrasi versi digital manakala ilustrasi dipinda dan disempurnakan akan diterbitkan semula pada Rabu dalam versi cetakan akhbar berkenaan.