BERAKHIRNYA saingan Liga Super pada Ahad ini menyaksikan kerja keras perlu dilakukan setiap kelab terutama dalam rangka persediaan menyiapkan pasukan untuk menghadapi saingan baharu liga musim depan.
Pemerhati sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, perancangan lebih serius perlu dilakukan pasukan untuk meningkatkan kualiti dan bukan hanya menjadi pasukan yang sekadar 'cukup syarat' beraksi di Liga Super.
Pekan berkata, saingan lebih berkesan perlu dihadirkan semua pasukan untuk memberikan cabaran kepada juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan memastikan saingan liga kembali rancak serta dapat menarik penyokong ke stadium.
"Banyak pasukan seperti tidak mahu bersaing untuk menjadi juara Liga Super. Seolah-olah mereka masuk Liga Super sekadar menyertai. Kalau ada pun yang bercita-cita tinggi mungkin hanya mampu merebut tempat kedua dan ketiga liga yang sememangnya tidak menyumbang kepada saingan kompetitif.
"Ia seharusnya perlu diatasi setiap pasukan dengan pelan perancangan rapi serta lebih tersusun dari setiap aspek bagi membina sebuah pasukan yang kuat," katanya kepada Sukan Sinar.
Saingan domestik musim ini menyaksikan penguasaan sepenuhnya Harimau Selatan dengan kejayaan mempertahankan Piala Sumbangsih, Piala FA dan muncul juara 11 kali Liga Super berturut-turut.
Mereka bakal melengkapkan trofi musim ini sekiranya berjaya menewaskan Sri Pahang FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, 26 April ini.
Dalam pada itu, Pekan turut menasihatkan pasukan yang tidak mampu bersaing secara kompetitif selain dipalit masalah tunggakan gaji untuk menimbangkan hasrat beraksi di liga bawahan.
Menurutnya, tindakan tersebut bukan sahaja boleh mengelakkan masalah lebih serius dalam pasukan selain mampu menyelamatkan maruah kelab dan memberi ruang kepada mereka untuk membina semula kekuatan dari bawah.
"Saya melihat kepada beberapa pasukan yang menjadi mangsa belasahan atau memiliki rekod tidak bagus dalam saingan Liga Super musim ini.
"Memang kita tak nafikan mereka berdepan masalah tunggakan gaji, hutang dan sebagainya yang menyumbang kepada prestasi dan kemudian dibelasah pasukan lebih kuat sekali gus menimbulkan jurang yang besar.
"Ini juga menjadi gambaran kurang baik kepada liga kita seolah-olah nampak pasukan itu tidak ada standard bermain di Liga Super dalam keadaan kita mahu mewujudkan saingan liga yang kompetitif.
"Justeru, jika mereka mahu terus menyertai Liga Super musim depan, mereka kena serius. Jika tidak, seharusnya mereka bertindak dengan cepat dan mungkin tindakan lebih baik bermain di liga bawahan," katanya.