Op Kenari: Dua sindiket tumpas, dadah RM6 juta dirampas

Iklan
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR - Seramai 56 individu termasuk dua wanita diberkas serta pelbagai jenis dadah bernilai RM6 juta dirampas dalam Operasi Kenari (Op Kenari) 1.0 di Kedah sejak 1 April hingga Rabu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, operasi itu dilaksanakan susulan peningkatan isu penagihan dan pengedaran dadah terutamanya di daerah Pendang.

"Op Kenari itu tertumpu di empat zon di Kedah iaitu Zon A - Kuala Muda, Zon B - Pendang, Zon C - Kota Setar dan Zon D - Pokok Sena serta serbuan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Iklan

"Kita telah menahan 54 lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 58 tahun dalam operasi tersebut.

"Operasi yang dilaksanakan hasil cetusan idea saya ini dilaksanakan atas tujuan menyelamatkan anak bangsa dari gejala dadah.

Iklan

"Selepas melihat rekod statistik kes pengedaran dan penyalahgunaan di kawasan yang menjadi sasaran Op Kenari mencatatkan peningkatan tinggi, saya telah mengarahkan untuk pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik bertindak melaksanakan operasi," katanya.

Beliau berkata, hasil tindakan operatif dan gerak gempur yang dijalankan, pasukan operasi melumpuhkan dua sindiket dadah iaitu Sindiket 18 dan Sindiket 04.

Antara dadah yang dirampas.

"Kita berjaya merampas lebih 199 kilogram (kg) syabu, 10.21kg pil eramin 5, 24.83kg serbuk MDMA, 2.6kg pil serbuk ekstasi, 1.43kg ganja, 43.2kg serbuk kimia, 11.83kg heroin.

"Turut dirampas, 930 gram (gm) ketamin, 831 biji pil ekstasi, 180 biji pil eramin 5, 49 biji pil kuda, 117 kartrij cecair vape mengandungi dadah, 67 botol cecair vape mengandungi dadah.

"Kesemua rampasan dadah dianggarkan bernilai RM6 juta," katanya.

Razarudin berkata, dalam operasi sama juga pihaknya turut merampas sepucuk pistol berserta 61 peluru dan peralatan memproses dadah.

"Kita telah menahan 54 lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 58 tahun dalam operasi tersebut," katanya pada Rabu

"Secara keseluruhan, keseluruhan bekalan dadah yang dirampas ini mampu menampung kegunaan seramai 1.6 juta penagih.

"Kita turut menyita tiga buah kereta, lapan motosikal, barang kemas dan wang tunai berjumlah RM208,000 dalam operasi ini," katanya.

Beliau berkata, hasil saringan awal air kencing mendapati 50 individu yang ditahan didapati positif dadah methamphetamine, amphetamine, ketamin, benzo dan morfin.

"Semakan rekod yang dijalankan mendapati 47 daripada keseluruhan yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah.

"Kesemua suspek telah ditahan reman dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, dan Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988," ujarnya.