SPRM fokus jenayah kewangan skala besar, pulih aset

Iklan
Azam semasa dijemput menghadiri segmen Sembang Tamu MACCfm bertajuk SPRM 2026: Ke Mana Halatuju? di Studio MACCfm, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Rabu.

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menetapkan hala tuju yang jelas dan berfokus bagi tempoh lima tahun akan datang dengan memberi keutamaan kepada pembanterasan jenayah kewangan berskala besar, pemulihan aset serta tindakan tegas terhadap ketirisan wang kerajaan.

Berdasarkan rekod enam tahun lalu, negara dianggarkan mengalami kerugian mencecah RM277 bilion akibat jenayah kewangan yang melibatkan kecurian dan ketirisan dana awam, sekali gus menuntut pendekatan penguatkuasaan yang lebih agresif dan berimpak tinggi.

Iklan
Iklan

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM akan terus memberi tumpuan kepada kes-kes berprofil tinggi dan berskala besar, khususnya yang melibatkan kehilangan aset negara, selari dengan usaha pembersihan menyeluruh terhadap amalan rasuah yang merugikan kerajaan.

Menurutnya, isu kritikal rasuah tetap wujud walaupun terdapat harapan bahawa ia berkurangan.

Iklan

“SPRM perlu terus menggembleng tenaga dan sumber bagi memastikan usaha memulihkan aset serta membawa pelaku ke muka pengadilan dapat dilaksanakan secara berkesan,” katanya dalam segmen Sembang Tamu MACCfm bertajuk SPRM 2026: Ke Mana Hala Tuju? di Studio MACCfm, Ibu Pejabat SPRM di sini pada Rabu.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail.

Iklan

Azam berkata, beliau memuji tahap dedikasi dan komitmen tinggi warga SPRM yang terus bekerja keras bagi memastikan siasatan kes dapat diselesaikan walaupun berdepan tekanan serta serangan persepsi di media sosial.

Tambahnya, tahun 2026 bermula dengan pendedahan kes besar hasil cetusan maklumat awam, namun menegaskan bahawa SPRM sebenarnya telah berada lebih awal dan jauh dalam menjalankan siasatan kes berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa peranan SPRM bukan sahaja tertumpu kepada aspek operasi dan penguatkuasaan, malah turut merangkumi usaha pencegahan bagi mendidik masyarakat, khususnya golongan muda.

“Mendidik hampir 18 juta orang (berdasarkan data pemegang lesen kenderaan) bukan tugas mudah, namun sektor pencegahan perlu memainkan peranan lebih agresif dan mengadakan program berimpak tinggi kerana terdapat banyak maklumat tidak tepat di media sosial yang boleh mempengaruhi persepsi,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai serangan persepsi dan kecaman di dunia maya, Azam menjelaskan bahawa persepsi tidak boleh dihalang sepenuhnya.

Namun, katanya, ia perlu diurus dengan pantas dan berkesan melalui pemantauan serta tindak balas strategik.

“Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM diminta agar sentiasa peka terhadap sentimen dan komen berkaitan SPRM di platform media sosial supaya ia dapat diuruskan dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Katanya lagi, warga SPRM diminta supaya terus mengekalkan tahap disiplin, komitmen serta kekal berintegriti dalam melaksanakan tugas demi memastikan perjuangan membanteras rasuah dapat dilaksanakan dengan berkesan.