SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi akan dikenang sebagai seorang pemimpin yang memartabatkan pendidikan Islam, menekankan pendekatan Islam Hadhari dan menerapkan prinsip kesederhanaan (wasatiyyah).
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, Allahyarham yang mesra dengan gelaran Pak lah juga berusaha memperluas ruang kebebasan politik dan institusi semasa pentadbirannya dari 2003 hingga 2009.
Menurut Ahmad Fahmi, salah satu legasi besar Pak Lah dalam memartabatkan pendidikan Islam adalah melalui pelaksanaan program J-QAF (singkatan kepada Jawi, al-Quran, Arab, Fardu Ain) di sekolah rendah dan menengah.
"Program itu menekankan penguasaan tulisan Jawi, hafazan dan pemahaman al-Quran, pengukuhan Bahasa Arab serta penghayatan fardu ain dalam kehidupan seharian.
"Usaha ini telah menyemai asas pendidikan Islam yang lebih holistik dan bersepadu dalam sistem pendidikan negara.
"ABIM menghargai sumbangan beliau dalam memperkukuh nilai-nilai Islam yang progresif, pembudayaan ilmu dan komitmen terhadap pembaharuan institusi yang berpaksikan prinsip syura dan keadilan.
"Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, mengampunkan segala dosanya, dan menempatkannya dalam kalangan para solihin," katanya kepada Sinar Harian.
Pak Lah meninggal dunia di usia 85 tahun pada Isnin jam 7.10 petang di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
"Pemergian Tun Abdullah adalah satu kehilangan yang besar," ujarnya.