KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat sebuah akhbar berbahasa Cina berkaitan kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa bulan sabit, pada Selasa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dibuka susulan tiga laporan diterima PDRM berhubung perkara itu.
Iklan
Iklan
"Ya, kita ada terima laporan polis dan kita buka siasatan, kes disiasat mengikut Sekyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan penerbitan 1984," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai ilustrasi Jalur Gemilang itu diletakkan bersebelahan bendera China.
Dalam pada itu, akhbar berbahasa Cina itu tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang pada muka hadapan akhbar itu.
Dalam satu kenyataan, agensi media berkenaan menjelaskan bulan sabit tidak kelihatan dalam ilustrasi tersebut disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Pindaan segera sudah dilakukan terhadap ilustrasi versi digital manakala ilustrasi dipinda dan disempurnakan akan diterbitkan semula pada Rabu dalam versi cetakan akhbar berkenaan.