KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Polis Kelantan mendedahkan salah seorang pegawai yang berkhidmat di negeri ini dikejutkan dengan perbuatan maksiat anak perempuannya berusia 14 tahun selepas memeriksa telefon.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, bapa tersebut berbuat demikian selepas terkesan dengan pendedahan yang dibuat oleh beliau minggu lalu.
"Pegawai saya menjumpai perbualan berbaur lucah di aplikasi WhatsApp diantara anak perempuannya dengan remaja lelaki semasa memeriksa telefon.
"Dia telah membuat laporan berhubung kejadian yang melibatkan anaknya dan kita sedang menyiasat kes tersebut,” katanya semasa sidang akhbar di sini pada Rabu.
Menurut beliau, masyarakat mula sedar mengenai jenayah seksual selepas Polis Kelantan membuat pendedahan melalui media arus perdana dan media sosial pada minggu lalu.
Ujarnya, perkara yang didedahkan itu bukan melibatkan isu politik, sebaliknya ia merupakan isu keselamatan yang wajar diambil berat.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Mohd Yusoff berkata, bahawa sebanyak 252 kes rogol dan sumbang mahram direkodkan iaitu meningkat berbanding 2023 membabitkan 206 kes.
Kebanyakan mangsa rogol dan pelaku merupakan kanak-kanak membabitkan usia 10 tahun bagi perempuan dan 11 tahun bagi lelaki sehingga ada yang mengandung.
Selain itu, kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan juga membimbangkan yang mana kebanyakannya membabitkan kes suka sama suka.