KUALA LUMPUR - Ketika ramai anak muda menggunakan duit tabung untuk membeli peranti terkini ataupun barangan fesyen yang sedang tular, seorang gadis dari Kemaman, Terengganu memilih melaburkan wangnya dalam sesuatu lebih berharga iaitu emas.
Berkongsi dengan Bernama, Nurulain Nazifa Azuwa @ Anith, 24, berkata, semuanya bermula apabila dia membeli sebentuk cincin seberat dua gram (g) sebagai emas pertamanya kira-kira 10 tahun lepas sebagai 'pelaburan' meskipun ketika itu baru di sekolah menengah.
"Saya bukan daripada keluarga senang. Sebagai anak sulung saya perlu lebih matang dan berpandangan jauh. Pada masa sama saya banyak membaca tentang simpanan. Jadi, setiap kali raya, duit (raya) saya kumpul dan kemudian beli barang kemas,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.
Lulusan Sarjana Muda Sains Pentadbiran daripada Universiti Teknologi Mara itu berkata, dia juga berpegang pada pesanan orang tuanya agar berbelanja mengikut keperluan, bukan kehendak dan berpendapat membeli emas adalah langkah terbaik kerana harganya sentiasa meningkat.
Nurulain Nazifa yang masih galak membeli emas setiap kali menerima gaji berkata, emas juga pernah menjadi 'penyelamat' hidupnya tatkala dia terdesak memerlukan wang semasa sedang menuntut di universiti.
"Masa susah sewaktu belajar, saya pernah pergi gadai. Jadi, walaupun sekarang nilai segram emas mencecah lebih RM400, saya tetap berusaha menyimpan dan membeli sekurang-kurangnya satu bentuk cincin setiap bulan, dengan peruntukan sekitar RM1,000,” katanya.
Mempunyai minat sama, Nik Noor Azleeen Ramli, 42, yang sudah menjadi pengumpul barang kemas sejak mula bekerja kira-kira 20 tahun lalu, berkata minatnya terhadap barang kemas diwarisinya sejak kecil, dan hingga kini dia masih 'ketagih' menambah koleksinya.
Menyoroti perubahan trend dan reka bentuk barang kemas yang kini lebih moden, Pengurus Cawangan Affin Bank itu berkata, reka bentuk dan corak bukan faktor penentu baginya dalam membuat pembelian.
"Saya bukan beli ikut trend. Kalau rekaan klasik pun tapi cantik di mata saya, saya beli. Tak semestinya perlu ikut yang terkini, tetapi saya juga pernah tempah khas koleksi dengan nama sendiri. Walaupun agak mahal saya puas hati," katanya, menambah koleksi itu kini dianggarkan bernilai RM16,000.
Bagaimanapun kata anak jati Kelantan itu dia tidak pernah menjual koleksi emas yang dibeli, selain turut membeli barangan kemas untuk tiga anak perempuannya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Habib Jewels Sdn Bhd (Habib Group), Datuk Seri Meer Habib berkata, trend pembelian barang kemas kini tidak lagi terhad kepada tujuan perhiasan diri semata-mata, sebaliknya turut menjadi pelaburan, termasuk oleh golongan muda.
Katanya, meskipun harga emas mencecah paras tertinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, permintaan dalam kalangan pengguna tempatan kekal kukuh malah menunjukkan peningkatan terutama menjelang musim perayaan.
"Kalau kita lihat jangka masa panjang, tahun lalu sahaja harga emas naik sebanyak 27 peratus. Jadi, jika orang beli emas tahun lepas, dia jual balik pun sudah boleh dapat untung walaupun dalam satu tahun sahaja.
"Tahun ini, dalam tempoh tiga bulan pertama saja harga naik kira-kira 15 peratus. Namun jangan ingat harga emas hanya naik, kadang-kadang harga boleh jatuh juga, tetapi biasanya ia akan mengukuh dan naik semula,” katanya.
Beliau juga bersetuju kenaikan harga emas bukan halangan masyarakat untuk terus membeli, yang seterusnya mencerminkan keyakinan orang ramai terhadap logam berharga itu sebagai aset yang stabil dan bernilai tinggi. - Bernama