SHAH ALAM - Allahyarham bekas Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, menekankan prinsip kesederhanaan dan toleransi, sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih sederhana serta inklusif dalam identiti Islam ketika dunia sedang berdepan gelombang ekstremisme.
Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong berkata, Allahyarham membawa pendekatan Islam progresif menerusi ideologi Islam Hadhari yang menekankan pembangunan, ilmu pengetahuan, tadbir urus baik dan kesejahteraan ekonomi.
"Pendekatan ini bertujuan menyelaraskan kemodenan dengan nilai Islam. Beliau juga memulakan usaha berani dalam menangani rasuah dengan menekankan ketelusan dan tadbir urus yang lebih baik.
"Institusi seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu diberi peranan yang lebih ketara pada awal pemerintahannya, walaupun terdapat kritikan bahawa usaha ini kemudian kehilangan momentum berikutan tentangan daripada pihak berkepentingan terhadap reformasi liberal beliau.
"Beliau turut memperjuangkan pembangunan sektor pertanian dengan fokus kepada ekonomi luar bandar dan usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat berpendapatan rendah,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, Allahyarham Tun Abdullah, yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri kelima dari 2003 sehingga 2009, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada Jam 7.10 malam Isnin, di usia 85 tahun.
Jenazah Allahyarham disemadikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, bersebelahan Masjid Negara, pada jam 2.30 petang pada Selasa.
Dalam pada itu, Soo Heong berkata, Allahyarham Tun Abdullah, tidak terlepas daripada memperjuangkan reformasi dalam sektor pendidikan termasuk penekanan terhadap penguasaan bahasa Inggeris dan penambahbaikan perkhidmatan awam.
"Beliau mahu perkhidmatan awam menjadi lebih responsif dan cekap, kerana ia dilihat sebagai alat utama dalam merealisasikan agenda pembangunan serta reformasi negara.
"Dikenali dengan panggilan mesra ‘Pak Lah’, beliau sering dikagumi kerana sifatnya yang rendah diri dan lemah lembut, sehingga ke akhir hayat beliau merupakan seorang ahli politik yang budiman serta tidak pernah campur tangan dalam pentadbiran atau politik negara selepas bersara,” ujarnya.
Soo Heong yang berkongsi sifat Allahyarham berkata, tempoh perkhidmatannya membawa kepimpinan berbeza dan dikagumi dengan pendekatan lembut serta konsultatif.
Jelasnya, Allahyarham difahamkan memahami sedikit bahasa Hokkien yang merupakan dialek utama masyarakat Cina di Pulau Pinang.
"Namun begitu, beliau mempunyai pertalian keturunan dari Hainan, di selatan China. Salasilah keluarganya berakar umbi daripada komuniti Hainan yang mempunyai sejarah migrasi dan integrasi budaya yang kaya di Asia Tenggara.
"Satu latar belakang mencerminkan kisah diaspora masyarakat Hainan yang terkenal dengan semangat keusahawanan dan sumbangan besar terhadap pembangunan rantau ini,” kata beliau.
Ujar Soo Heong, Allahyarham Pak Lah akan dikenang sebagai pemimpin berfikiran matang yang menekankan kesederhanaan, integriti dan gaya pemerintahan berperikemanusiaan walaupun berdepan pandangan mengatakan pemerintahannya kurang tegas dalam reformasi.
"Legasi beliau merupakan gabungan antara cita-cita reformasi, inisiatif ekonomi dan cabaran dalam mendepani dinamik politik yang telah lama berakar,” tambahnya.