KUALA TERENGGANU - Pengusaha pertanian yang mempunyai modal disyorkan menceburi tanaman durian kerana berpotensi menjana pulangan lumayan selaras dengan permintaan tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, tanaman itu mempunyai nilai pasaran tinggi terutama selepas Malaysia memeterai protokol baharu pengeksportan durian sejuk beku ke China pada Mei 2019, diikuti buah segar pada tahun lalu.
"Kerajaan negeri memfokuskan dua strategi utama iaitu pembukaan kebun durian baharu serta pemulihan dusun sedia ada bagi memastikan bekalan mencukupi untuk pasaran.
"Potensi hasil tanaman ini mampu mencecah sehingga 14.7 metrik tan sehektar," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan oleh Mohd Yusop Majid (Bersatu - Permaisuri) mengenai jenis pertanian memberikan pendapatan tinggi yang perlu diberikan galakan dan infrastruktur pertanian berkesan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada Rabu.
Selain itu, katanya, statistik menunjukkan keluasan tanaman durian di Terengganu meningkat ketara daripada 1,695.5 hektar pada 2016 kepada 3,165.4 hektar pada tahun lalu.
Jelas beliau, selain durian, kerajaan negeri menggalakkan rakyat terlibat dalam tanaman kontan yang lebih mudah diusahakan serta berisiko rendah.
"Kerajaan lebih mencadangkan supaya rakyat memulakan langkah dengan tanaman kontan kerana modal permulaan tidak besar, penjagaan lebih praktikal dan hasilnya lebih cepat.
"Mereka boleh memohon bantuan modal melalui Skim Pinjaman Mikro Terengganu (SPMT) serta tapak tanah kerajaan melalui Lembaga Pelaburan dan Pembangunan Negeri (LPS)," katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga menyediakan kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang dikhususkan untuk tanaman kontan dengan kadar sewa yang rendah di lima lokasi sedia ada iaitu di Rhu Tapai, Setiu; Tok Dor, Besut; Serating, Marang; Peradong, Kuala Terengganu dan Paloh Jenang, Kemaman melibatkan keluasan 1,194 hektar.
Katanya lagi, dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2024-2030, enam lagi TKPM baharu bakal diwujudkan termasuk di Telaga Papan, Setiu; Pela, Hulu Terengganu; Pinang Merah dan Rantau Abang di Dungun; Kemasik, Kemaman dan Bukit Rong Ubi, Kuala Nerus.
Selain itu, tanaman kelapa juga semakin mendapat tempat dalam kalangan pengusaha kerana potensi tinggi untuk penghasilan santan, kelapa muda, air nira dan produk hiliran seperti nisan kelapa.
"Projek tanaman kelapa terbesar di negeri ini kini sedang dibangunkan oleh Ladang Rakyat Terengganu di Kampung Banggol, Setiu melibatkan kawasan seluas 1,200 ekar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sektor akuakultur juga tidak ketinggalan apabila mencatatkan jumlah pengeluaran 5,580.18 metrik tan dengan nilai RM96.59 juta tahun lalu, melibatkan lebih 500 penternak berdaftar.
"Kerajaan negeri akan terus memperkasa pusat pembenihan ikan dan memberikan bantuan input kepada pengusaha akuakultur berskala kecil dan sederhana di bawah PSPT 2024-2030," katanya.
Dr Azman turut menyatakan penternakan ayam pedaging semakin berkembang di Terengganu apabila kadar tahap sara diri (SSR) ayam meningkat kepada 72.71 peratus pada tahun lalu berbanding 68.96 peratus pada 2022.
"Berdasarkan analisis Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), seorang pengusaha ayam pedaging dengan kapasiti 164,000 ekor bagi setiap pusingan mampu memperoleh pendapatan kasar mencecah RM98,000," katanya.