AWANG faham kemurkaan Baginda Sultan Pahang dalam soal isu ceroboh tanah kerajaan. Seluas 202 hektar kebun durian musang king haram di Sungai Klau akan ditebang.
Sebelum ini pada tahun 2021 Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telah menebang lebih 15,000 pokok durian di Hutan Simpan Batu Talam, Raub.
Iklan
Iklan
Bagus sangat teguran Baginda Sultan. Baginda pun mahu rakyat jadi mata dan telinga kerajaan negeri dalam soal itu. Baginda mahukan tindakan tegas ke atas pencerobohan tanah.
"Jagalah bumi Pahang kita dengan sebaik mungkin. Jangan bagi orang ceroboh tanah-tanah di Negeri Pahang,” titah Baginda.
Awang sokong penuh titah itu. Pada pendapat Awang bukan sahaja pencerobohan tanah untuk tanam durian atau lain-lain tetapi juga mereka yang melombong, membalak dan mengambil pasir secara haram patut juga dihukum.
Banyaklah pihak yang hairan bagaimana pencerobohan itu boleh berlaku. Bagaimanakah ratusan ekar hutan boleh dibuka dan ditanam ribuan pokok tapi tidak ada siapa yang ambil peduli sejak 20 tahun lalu? Di manakah jabatan hutan dan pihak penguasa tempatan? Di manakah pejabat daerah?
Awang cadangkan selain tindakan ke atas penceroboh, siasatan perlu dibuat ke atas mana-mana pihak berwajib yang bersekongkol atau yang menutup mata terhadap perbuatan penceroboh itu.