JAGOAN Asia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memasang impian untuk kembali bergelar juara dunia yang kali terakhir dimenangi tiga tahun lalu di Jepun.
Beregu lelaki negara yang masih segar dengan kejuaraan Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China pada Ahad menyifatkan sasaran tersebut sebagai realistik.
Malah mereka turut mendapat tonik tambahan menerusi magis ketua jurulatih beregu lelaki negara yang baharu, Herry Iman Pierngadi untuk merealisasikan impian itu.
"Sudah tentu kami sasar untuk Kejohanan Dunia tahun ini. Namun ketika ini kami dalam proses sesuaikan diri dengan gaya permainan jurulatih Herry.
"Ia satu cabaran, apapun kita akan teruskan (usaha) dan lihat apa yang akan berlaku nanti," ujar Aaron.
Kejohanan tersebut dijadual berlangsung di Paris pada Ogos depan.
Aaron-Wooi Yik menjuarai BAC selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi 21-19, 21-17 untuk membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,000 (RM163,715).
Wooi Yik turut senada apabila percaya mereka berada di landasan tepat untuk kembali menjadi pencabar utama pada setiap kejohanan besar selepas ini.
Katanya, BAC 2025 menjadi permulaan kepada versi baharu Aaron-Wooi Yik yang menunjukkan peningkatan konsisten hasil bimbingan Herry.
"Kami temui sesuatu yang baharu daripada jurulatih Herry di kejohanan ini dan ia sangat berbeza berbanding sebelum ini.
"Ini mungkin permulaan kepada kebangkitan dan anda tidak boleh jangka apa kami boleh capai selepas ini kerana kami masih belajar," ujar Wooi Yik.