Dulu hanya lima minit, kini 30 minit ke Seremban 2

Iklan
Mohamad Hanifah (tengah) bersama penduduk yang membuat bantahan penutupan Jalan Taman Arowana Indah.

SEREMBAN - Penutupan jalan pintas di Taman Arowana Indah-Taman Kerisi di sini menyebabkan penduduk di lima taman berdepan masalah masa perjalanan menjadi lebih panjang dari lima minit kepada 30 minit.

Difahamkan jalan itu menjadi laluan utama penduduk Taman Kerisi, Kerisi Indah, Taman Mambau, Taman Koi Tropika dan Kampung Baru Mambau ke Seremban 2.

Iklan
Iklan

Penduduk Taman Kerisi, Josy Siow, 35, berkata, penutupan jalan sejak 10 April lalu menyebabkan penduduk sekitar terpaksa melalui jalan utama Kampung Kayu Ara yang jaraknya menjadi 7 kilometer berbanding 1.3 kilometer jika melalui jalan pintas itu.

"Semua penduduk menggunakan jalan pintas ini untuk berurusan di Seremban 2 dan kenapa kami tidak lalu di jalan Kampung Kayu Ara kerana trafik sibuk dan berbahaya.

Iklan
Penutupan jalan Taman Arowana Indah-Taman Kerisi sejak 10 April lalu.

"Perjalanan yang dulu hanya lima minit kini menjadi 30 minit, ia juga menyusahkan penduduk untuk urusan di klinik kesihatan apabila terpaksa berpatah balik melalui jalan utama," katanya pada bantahan aman penduduk bersama Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker pada Selasa.

Dia berharap rundingan semula dapat dibuat dan jalan itu dibuka untuk kemudahan bersama.

Iklan

"Saya dah duduk sini lebih 10 tahun, beli rumah di sini pun sebab jalan mudah di akses jadi saya harap MBS dapat pertimbang untuk buka semula jalan ini untuk kemudahan penduduk setempat," katanya.

Seorang lagi penduduk, Lam Man Khoo, 79, berkata, penutupan jalan itu disebabkan aduan banyak kenderaan menggunakan laluan itu termasuk kenderaan berat.

Man Khoo

Bagaimanapun katanya, penutupan jalan itu kepada semua kenderaan telah menyebabkan urusan penduduk setempat terjejas termasuk mereka yang berulang-alik ke tempat kerja di Seremban 2.

"Penduduk minta penghadang jalan ini dibuka dan beri kebenaran kenderaan ringan saja melalui laluan ini, manakala kenderaan berat melalui jalan utama.

"Apabila jalan ini ditutup sepenuhnya, ia menyukarkan aktiviti seharian penduduk untuk ke Seremban 2 kerana jalan utama biasanya digunakan untuk ke Mambau," katanya.

Sementara itu Mohamad Hanifah berkata, isu tersebut sepatutnya boleh diselesaikan secara baik melalui rundingan dan bukan diambil tindakan melulu dengan menutup jalan itu.

"Banyak taman perumahan menghadapi masalah sama, semasa saya jadi Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Nilai, ada isu penduduk Taman Serena Nilai sering kali minta jalan tutup sebab ia jadi laluan penduduk luar.

Mohamad Hanifah (kiri) mendengar masalah keluhan penduduk.

"Bagaimanapun hasil perbincangan baik antara kedua belah pihak, jalan itu masih boleh digunakan sampai sekarang. Begitu juga kes Taman Jasmin Nilai, dulu dipasang palang kini telah dibuka," katanya.

Ujarnya, masalah itu boleh diselesaikan melalui rundingan termasuk cadangan pembinaan palang dengan mengehadkan hanya kenderaan ringan menggunakan jalan tersebut.

"Saya lihat ada masalah laluan sempit di Taman Arowana selain aduan disebabkan jalan ini dilalui kenderaan berat, yang berlaku disebabkan aplikasi navigasi yang membawa ke jalan berkenaan.

"Mungkin penyelesaian terbaik buat sementara waktu dengan memasang palang, hanya kenderaan kecil boleh lalui jalan ni sementara kenderaan berat dan jentera bomba, boleh guna jalan utama ketika waktu kecemasan," katanya.

Beliau juga berpandangan, langkah sekatan aplikasi navigasi menggunakan laluan itu juga dapat mengurangkan kenderaan luar menggunakan jalan itu.

Justeru, beliau memohon MBS serta Menteri Besar dapat memandang serius isu ini susulan ramai penduduk berhampiran terkesan dengan pelaksanaan penutupan jalan itu.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali berkata, penutupan jalan itu dibuat berdasarkan aduan penduduk.

"Kita akan buat kajian semula dan dengar permasalahan yang dihadapi penduduk.

"Buat masa ini jalan itu ditutup terlebih dahulu sehingga dapatan daripada kajian selesai diperolehi.

"Berdasarkan kajian itu nanti kita akan laksanakan tindakan selanjutnya dan bersesuaian bagi memberi kemudahan dan kelesesaan kepada semua penduduk," katanya.