ISKANDAR PUTERI - Taktik menyeludup rokok dengan mengisytiharkan muatan dibawa lori sebagai barang dagangan ‘Cocoa Beans’ di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Gelang Patah di sini, 6 Februari lalu gagal apabila berjaya dikesan pihak kastam.
Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, pemeriksaan ke atas lori jenis Hino dilakukan oleh Pegawai Kastam Cawangan Penguatkuasaan Gelang Patah sekitar jam 2.40 petang.
"Pemeriksaan dilakukan di Bay Pemeriksaan Kastam Cawangan Eksport KSAB dan semakan dalam Sistem Maklumat Kastam (SMK) mendapati lori tersebut membuat pengisytiharan Borang Kastam 8 (transit dari Johor Port Ke Singapore Port) membawa dagangan ‘Cocoa Beans’.
"Seorang lelaki iaitu pemandu lori yang berusia 20 tahun diminta untuk membuka lori berkenaan bagi melakukan pemeriksaan.
"Hasil pemeriksaan yang disaksikan suspek menjumpai 1,600 karton iaitu 320,000 batang rokok putih diletakkan dalam guni-guni di dalam lori tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut beliau memaklumkan, anggaran nilai rokok putih terbabit adalah RM76,800 dengan jumlah cukai terlibat RM218,880 manakala anggaran jumlah nilai dan cukai terlibat RM295,680.
Katanya, semua barang kes dan lori berkenaan sudah disita dan kejayaan tersebut adalah hasil perkongsian maklumat daripada orang ramai pihaknya sekali gus menggesa masyarakat terus menyalurkan maklumat.
"Kes berkenaan telah dituduh bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 14 Februari lalu.
"Suspek mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dan diperintahkan membayar duti RM64,000 manakala barang-barang kes dan kenderaan dilucuthak kepada kastam," jelasnya.