'Pak Lah tidak mewah melampau, tidak pernah lupa asal usul' - Jefridin

Iklan
Gambar kenangan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi beramah mesra dengan sebahagian mangsa banjir di sebuah masjid yang dijadikan pusat pemindahan ketika meninjau keadaan banjir pada 23 Disember 2005. Turut sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (dua, kiri). Tun Abdullah yang merupakan Perdana Menteri kelima meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7.10 malam Isnin. Foto Bernama

PUTRAJAYA –"Walaupun beliau Perdana Menteri, cara hidupnya tetap sederhana dan tidak pernah lupa asal usul.”

Itu antara kata-kata yang dilontarkan Bekas Pegawai Khas Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Jefridin Atan ketika mengenang lebih dua dekad perkhidmatannya bersama bekas Perdana Menteri kelima negara itu.

Iklan
Iklan

Menurut Jefridin, beliau mula berkhidmat bersama Tun Abdullah sejak tahun 1999 dan sepanjang lebih 21 tahun bersama, banyak nilai yang masih kekal segar dalam ingatannya hingga ke hari ini.

"Kalau nak diikutkan, dari 1999 hingga 2020 merupakan suatu satu tempoh yang cukup panjang.

Iklan

"Banyak detik dan momen yang saya tak akan lupa. Tapi yang paling saya pegang ialah kesederhanaan beliau.

"Tun Abdullah memang dikenali sebagai seorang pemimpin yang tidak suka menunjuk-nunjuk.

Iklan

"Walaupun ketika itu beliau merupakan orang nombor satu negara, kehidupannya tetap seperti biasa. Tidak mewah melampau, tidak berlagak dan sangat merendah diri,” katanya ketika menerusi panggilan telefon dan dimuat naik di laman Facebook HotFM pada Selasa.

Jefridin yang juga ADUN Kukup turut menyifatkan Tun Abdullah sebagai seorang yang penyabar dan berjiwa besar.

"Beliau tidak pernah membalas kata-kata orang yang mengkritiknya. Kadang-kadang, kami sebagai pegawai muda, rasa geram juga bila orang kutuk atau kecam beliau.

"Tetapi Pak Lah apabila kita mengadu dia buat-buat tak dengar. Dia tak suka bercakap buruk tentang orang lain.

"Itulah yang menjadi pengajaran paling besar buat saya iaitu sabar, tenang dan jangan lupa asal-usul,” tambahnya lagi.

Tun Abdullah,86, disahkan meninggal dunia di Insitut Jantung Negara jam 7.10 petang Isnin.

Beliau meninggalkan seorang balu, Tun Jeanne Abdullah dan dua anak.

Beliau menerajui negara sebagai Perdana Menteri Malaysia dari tahun 2003 hingga 2009.

TAMAT