PUTRAJAYA -"Tiada ahli politik di Malaysia yang pernah menandingi kelembutan, sifat pemaaf dan hati penyayang beliau sebagai seorang pemimpin.”
Demikian luahan bekas Setiausaha Politik kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tan Sri Kalimullah Hassan yang menzahirkan rasa dukacita atas pemergian bekas Perdana Menteri kelima itu.
Dalam hantaran di laman Facebook, Kalimullah yang mengenali Tun Abdullah hampir 45 tahun menggambarkan Allahyarham sebagai seorang sahabat, ayah, guru yang penyayang dan seorang insan berhati mulia.
"Beliau mudah memaafkan, tidak suka menghukum. Beliau ada kelemahan, tentu sekali, namun beliau menyedarinya dan tidak pernah menjadi orang pertama melempar batu. Malah, beliau tidak pernah melempar batu sama sekali,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia telah kehilangan seorang tokoh besar yang berusaha membawa wajah lebih lembut dan penyayang kepada negara yang amat dicintainya.
"Beliau benar-benar percaya bahawa struktur pelbagai kaum dan agama di Malaysia adalah anugerah Tuhan untuk menjadikan negara ini cemerlang, gemilang dan terbilang,” katanya.
Kalimullah berkata, beliau menyayangi Tun Abdullah seperti menyayangi ibu bapa sendiri dan sebagai rakyat Malaysia yang menyayangi pemimpinnya.
"Malaysia mungkin tidak cukup baik terhadap beliau. Tetapi seperti yang saya katakan kepada seseorang di rumah beliau malam ini, beliau pastinya telah pun memaafkan semua yang mengguris hatinya dan pasti beliau juga mengharapkan mereka turut memaafkan dirinya,” katanya lagi.
Tun Abdullah atau mesra dikenali sebagai Pak Lah menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7.10 malam Isnin.
Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Negara dan dikebumikan di Makam Pahlawan selepas solat Zuhur.