RM36 juta baiki jalan runtuh Aring-Tasik Kenyir

Iklan
Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris dekat Tasik Kenyir, Hulu Terengganu yang terjejas akibat insiden tanah runtuh pada musim tengkujuh, hujung tahun lalu. (Gambar kecil: Hanafiah)

KUALA TERENGGANU - Kerja-kerja pembaikan cerun di laluan Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris dekat Tasik Kenyir, Hulu Terengganu yang terjejas akibat insiden tanah runtuh hujung tahun lalu menelan kos sebanyak RM36 juta.

Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, peruntukan bagi kos keseluruhan projek itu telah dimohon oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Kementerian Ekonomi bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih dilaksanakan.

Iklan
Iklan

"Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), JKR telah melakukan lawatan susulan ke lokasi pada 4 Disember 2024.

"Hasil tinjauan, CKC mencadangkan pembinaan jambatan baharu bagi menggantikan laluan sedia ada yang terputus akibat kejadian tanah runtuh tersebut,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan oleh Dr Mamad Puteh (PAS-Kuala Berang) ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini pada Selasa.

Tambah Hanafiah, skop cadangan kerja-kerja baik pulih itu antaranya melibatkan pembinaan jambatan baharu sepanjang 150 meter, pembinaan sistem perparitan jalan, kerja pengalihan utiliti, pembinaan jalan serta laluan sementara bagi kegunaan penduduk setempat.

Iklan

Menurutnya, laluan tersebut kekal ditutup sehingga kerja-kerja pembaikan selesai sepenuhnya demi keselamatan pengguna jalan raya.

Sebelum ini, Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris di Jalan Tasik Kenyir dekat Hulu Terengganu ditutup sepenuhnya akibat tanah runtuh, berikutan hujan lebat pada musim tengkujuh pada November tahun lalu.

Jalan tersebut dijangka ditutup lebih lama bagi proses pembaikan berikutan disebabkan runtuhan yang berlaku sepanjang 100 meter agak serius.