KUALA LUMPUR - Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan pemimpin yang memberi contoh terbaik ketika pentadbirannya sebagai Perdana Menteri.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Tun Abdullah tidak teragak-agak untuk meletakkan jawatan apabila keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) merosot berbanding pilihan raya sebelumnya.
"Apabila saya bersara, dia jadi Perdana Menteri dan memimpin pilihan raya pada tahun 2004, dengan kejayaan cemerlang dalam sejarah iaitu 90 peratus pengundi undi untuk kerajaan pimpinan Tun Abdullah.
"Itulah kejayaan terbesar. Namun selepas beliau mentadbir, timbul banyak masalah (menyebabkan) prestasinya dalam pilihan raya 2008 tidak begitu baik.
"Dia tidak teragak-agak apabila kejayaannya kurang dan ramai menuntut dia meletakkan jawatan, dia buat dan serah jawatan itu kepada Datuk Seri Najib (Tun Razak)," katanya ketika ditemui di Masjid Negara ketika memberi penghormatan terakhir kepada Perdana Menteri kelima itu, pada Selasa.
Tun Abdullah meninggal dunia pada jam 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN) dan akan diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara.
Dalam pada itu, Dr Mahathir menyifatkan Tun Abdullah pemimpin berjiwa besar kerana tidak menimbulkan masalah apabila mendapat tekanan untuk letak jawatan.
"Inilah cara kita di Malaysia. Apabila bersara, kita pergi dengan mudah tanpa masalah dan serah kepada pengganti.
"Kalau amalan ini diteruskan, insya-ALLAH Malaysia akan jadi negara yang aman dan inilah contoh yang ditunjukkan oleh Abdullah," ujarnya.