PORT DICKSON - Percubaan seorang usahawan menanam padi secara hidroganik di kawasan rumahnya di Taman Bukit Cendana, Pasir Panjang di sini membuahkan hasil apabila mampu menghasilkan sekurang-kurangnya 50 kilogram (kg) padi setiap musim.
Sistem yang menggabungkan kaedah hidroponik dan organik yang diusahakan Ibrahim Inon, 41, itu sekali gus mengubah landskap pertanian bandar ketika ini.
Menariknya, menerusi sistem pertanian berkenaan bukan sahaja menjimatkan ruang tetapi juga kos.
Menurut Ibrahim, konsep pertanian hidroganik di negara ini dilihat masih baharu berbanding di Indonesia yang sudah memulakannya sejak tahun 2018.
"Sistem hidroganik ini menggabungkan elemen hidroponik iaitu teknik penanaman tanpa tanah dan organik bermaksud, baja dihasilkan semula jadi tanpa bahan kimia.
"Tanaman padi saya dibuat atas kolam ikan. Jadi, najis ikan menjadi baja semula jadi kepada tanaman,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Ibrahim, kos permulaannya juga tidak begitu tinggi bergantung kepada saiz tanaman dan kolam ikan yang digunakan.
Jelas beliau, keperluan utamanya ialah sistem paip polivinil klorida (PVC), rangka besi, kolam dan pam air.
"Selepas buat kajian tanam padi sistem hidroganik ini, saya cubanya sendiri dalam skala kecil bermula 40 rumpun padi sahaja dan sangat teruja bila tengok ia menjadi.
"Dengan menggunakan kos lebih RM30,000, saya tanam dalam skala lebih besar di tanah yang disewa sebelah rumah. Saya tanam 368 rumpun padi jenis MR297 yang dibeli dari Kedah dan padi jenis MQ47 dari Kuala Selangor,” ujarnya.
Tambah Ibrahim, tanaman 368 rumpun padi terbabit mampu menghasilkan 50kg hingga 60kg beras setiap kali musim menuai.
"Setiap empat bulan sudah boleh tuai dan bagi skala yang saya buat ini dah cukup untuk tampung beras untuk setiap isi rumah dalam tempoh setahun.
"Kalau semua kita mampu buat, kita tak perlu lagi beli beras dan tentunya keselamatan makanan kita lebih terjamin,” jelasnya.
Ibrahim yang mendapat bantuan mesin memproses padi daripada Jabatan Pertanian berkata, keuntungan boleh diperoleh melalui ternakan ikan.
Dia menternak kira-kira 3,000 ikan keli dan 1,500 tilapia yang dijual kepada pelanggan apabila mencapai tempoh matang.
Justeru, dia berpendapat hidroganik boleh dijadikan alternatif pertanian terutama bagi mereka yang tiada kawasan tanah bersesuaian.
"Antara kelebihan utama sistem ini ialah keupayaannya beroperasi tanpa kebergantungan kepada tanah dan pada masa sama boleh menternak ikan.
"Lagi pun penggunaan air dalam sistem hidroganik jauh lebih cekap kerana air yang digunakan dikitar semula berbanding kaedah tradisional,” ujarnya.
Kata Ibrahim, hidroganik menekankan penggunaan bahan organik tanpa racun serangga kimia atau baja sintetik, seterusnya menjadikan hasil tanaman lebih selamat untuk dimakan dan lebih mesra alam.