PRK Ayer Kuning: Pemuda Pas kecam kerajaan umum peruntukan pilihan raya

Iklan
MOHAMED SUKRI

SHAH ALAM - Pemuda Pas mengecam tindakan kerajaan mengumumkan peruntukan projek pembangunan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning.

Pengarah Pilihan Rayanya, Mohamed Sukri Omar berkata, pengumuman oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming itu menimbulkan persoalan mengenai keadilan dan ketelusan proses pilihan raya.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pengumuman dana bernilai RM6.13 juta bagi 33 projek di Parlimen Tapah itu dibuat sebelum tempoh rasmi kempen dan tindakan itu boleh menjejaskan persepsi awam terhadap prinsip demokrasi dan reformasi yang sebelum ini ditekankan oleh Pakatan Harapan (PH).

"Apakah pengumuman ini mencerminkan janji reformasi dan keadilan pilihan raya seperti yang termaktub dalam manifesto PH?" katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohamed Sukri yang juga Ketua Pemuda Pas Selangor menegaskan, sebarang bentuk pengumuman dana awam yang dibuat berdekatan dengan tempoh pilihan raya perlu dipertimbangkan secara lebih teliti agar tidak disalah tafsir sebagai usaha mempengaruhi pengundi.

"Memberi alasan bahawa pengumuman dibuat sebelum hari penamaan calon tidak wajar dijadikan justifikasi, memandangkan tarikh PRK telah pun diketahui,” katanya.

Iklan

Sehubungan itu, jelas beliau, kerajaan digesa menghentikan amalan itu demi memelihara integriti sistem pilihan raya negara.

"Budaya menggunakan jentera dan dana kerajaan untuk meraih sokongan politik bukan sahaja menjejaskan imej pentadbiran, tetapi juga boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap proses demokrasi," kata beliau.

Ujar beliau, rakyat pada masa kini semakin peka dan tidak mudah dipengaruhi oleh pengumuman bersifat sementara.

"Jika PH dan BN terus berdegil menggunakan jentera serta dana kerajaan untuk berkempen, maka bersedialah untuk melihat rakyat bangkit menolak calon mereka dalam PRK kali ini," tambahnya.

Pada 10 April lalu, KPKT telah meluluskan lebih RM1.63 juta bagi pelaksanaan 33 projek di seluruh Parlimen Tapah termasuk DUN Ayer Kuning tahun ini.

Menteri KPKT berkata, peruntukan merangkumi pelbagai projek pembangunan dan infrastruktur antaranya kerja-kerja menaik taraf tandas awam, medan selera dan pemasangan lampu LED itu merupakan tertinggi pernah disalurkan ke kawasan berkenaan.