Pak Lah insan berjiwa besar terap naratif baharu politik Malaysia - Anwar

Iklan
Kenangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama bekas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Pak Lah sewaktu majlis parti pada satu ketika dahulu.

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan bekas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak sekadar seorang pemimpin, malah merupakan seorang insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baharu dalam politik kekuasaan di Malaysia.

Jelasnya, watak Abdullah atau lebih dikenali Pak Lah yang sentiasa menjadi pihak yang menenangkan dalam derapan langkah politik yang sering gawat dan menyesakkan, membuktikan betapa besarnya jiwa beliau sebagai seorang negarawan ulung.

Iklan
Iklan

Menurut Anwar, dengan pendekatan Islam Hadhari, Allahyarham Pak Lah menjambatani antara aspek kemajuan dan pembanganan dengan nilai.

Anwar Ibrahim

"Masih segar di ingatan tatkala kali terakhir menziarahi beliau yang berada dalam keadaan yang sangat uzur lantas meruntun jiwa yang hiba.

Iklan

"Namun saat tangan kami bersentuhan, matanya yang kabur masih memancarkan sinar kasih dan sikap damai yang tidak pernah padam," kata Ahli Parlimen Tambun itu dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata demikian setelah menerima berita pemergian Pak Lah yang meninggal dunia di usia 85 tahun, pada Isnin jam 7.10 petang di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Iklan

Perkara tersebut dimaklumkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi hantaran Instagram milik beliau pada Isnin.

Allahyarham Pak Lah sosok yang memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan menganggap Allahyarham Pak Lah sosok yang memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam.

Katanya, di bawah kepimpinan Pak Lah, negara telah menyaksikan reformasi di bidang kehakiman, ketelusan dalam pentadbiran dan pemerkasaan institusi.

"Pentadbiran beliau berpaksi pada Rancangan Malaysia Kesembilan yang memacu pertumbuhan ekonomi serta memfokuskan pembangunan insan dan di kawasan desa.

"Namun lebih dari segala pencapaian itu, Pak Lah mengajarkan kita erti kemanusiaan dalam kepemimpinan.

"Beliau memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa, dan suara yang tidak meninggi meski diasak bertubi-tubi," ujarnya lagi.

Anwar juga turut menyorot waktu beliau berada di penjara di mana beliau amat mengingati sikap Allahyarham Pak Lah yang tidak pernah menambah duka dengan kata-kata nista.

Tambahnya, itulah peribadi Pak Lah yang sentiasa memilih damai meski pun mudah untuk membalas.

"Kepada keluarga Tun Jeanne, anakanda Khairy Jamaluddin dan keluarga besar beliau, saya ucapkan takziah setulusnya dari lubuk hati. Seluruh negara turut bersedih atas kehilangan seorang negarawan yang membumi.

"Selamat jalan, Pak Lah.

"Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicaramu. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin, diampunkan segala dosanya dan dikurniakan ganjaran syurga atas segala kebajikan yang telah ditabur sepanjang hayat beliau," ulasnya lagi.