Henti main sentimen Terengganu dianaktirikan - PH

Iklan
HASBIE

KUALA TERENGGANU - Pakatan Harapan (PH) Terengganu menggesa pembangkang supaya menghentikan sentimen kononnya negeri itu dianaktirikan oleh kerajaan Persekutuan.

Pengerusinya, Hasbie Muda berkata, dakwaan itu disifatkan sebagai tidak berasas, mengelirukan rakyat dan mencetuskan kebencian terhadap kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang menzahirkan penghargaan atas kelulusan 408 projek pembangunan bernilai RM13.56 bilion sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin membuktikan bahawa Terengganu tidak pernah dipinggirkan.

"Titah Tuanku ini sudah cukup jelas untuk menepis segala tohmahan liar yang dimainkan oleh pembangkang selama ini. Ia menunjukkan Kerajaan Persekutuan sentiasa memberi perhatian serius terhadap pembangunan Terengganu," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Iklan

Hasbie berkata, tindakan menyebarkan tuduhan sebegitu (Terengganu dianaktirikan) hanyalah gimik politik yang tidak bertanggungjawab.

"Ini bukan masanya untuk menanam kebencian dan mencipta persepsi negatif. Sebaliknya semua pihak termasuk Pas sepatutnya fokus kepada usaha membantu rakyat, bukan mencetuskan fitnah," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, beliau menegaskan PH Terengganu akan terus komited memastikan setiap projek pembangunan yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dilaksanakan dengan telus, berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Sultan Mizan merakam penghargaan atas kelulusan projek pembangunan oleh Kerajaan Pusat di Terengganu.

Baginda turut menyarankan supaya kerajaan negeri memperkukuhkan hubungan dan kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan demi memastikan kelangsungan pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat di Terengganu.

Tegas baginda, hubungan erat dengan Kerajaan Persekutuan amat penting bagi merealisasikan projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bakal bermula pada 2026.

Selain itu, baginda bertitah kerjasama erat dengan Kerajaan Pusat penting dalam memperkukuhkan kestabilan bekalan makanan negara, selain membantu meningkatkan kadar sara diri subsektor pertanian serta pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.