KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan telah menerima laporan berkaitan insiden serangan bom petrol di sebuah rumah di Kepong Baru di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun pada jam 4.39 petang.
"Mangsa yang juga seorang penganggur mendakwa kejadian pada jam 1.10 pagi, dia mendapati rumah sewanya telah dibaling minyak dan api oleh seorang lelaki disyaki along.
"Kejadian itu telah dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) milik jiran. Api juga berjaya dipadamkan oleh jirannya, rumah mangsa mengalami kerosakan pada bahagian cermin pintu dan langsir," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Isnin.
Ahmad Sukarno berkata, pengadu mendakwa perbuatan tersebut dilakukan oleh along kerana dia pernah menerima surat ugutan supaya membayar hutang seorang wanita warga tempatan.
"Wanita berkenaan merupakan anak saudara kepada pemilik rumah yang kini disewa pengadu dan dia pernah tinggal di alamat tersebut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api," ujarnya.
Pada Isnin, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera susulan insiden serangan bom petrol di rumah berkenaan.
Lip Eng berkata, penyerang terbabit merakam perbuatan itu dan menghantar video kepada mangsa, sambil memberi amaran bahawa kegagalan melangsaikan hutang akan menyebabkan gangguan harian terhadap dirinya.
Video berdurasi lapan saat itu menunjukkan suspek meninggalkan satu nota di pintu pagar rumah sebelum menyalakan satu objek dan membalingnya ke dalam kawasan rumah.
Suspek kemudian melarikan diri menaiki sebuah kenderaan.