ISKANDAR PUTERI – Tindakan seorang lelaki melakukan khianat dengan api akibat isu hutang membawa padah apabila dia ditahan polis kurang 24 jam selepas menyebabkan kebakaran tiga buah rumah di Taman Mutiara Rini, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira jam 6.55 pagi, membabitkan tiga rumah teres setingkat di kawasan perumahan tersebut.
"Hasil maklumat yang diterima, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Iskandar Puteri berjaya memberkas seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun sekitar jam 1 petang pada hari sama.
"Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada masalah hutang antara suspek dan penghuni rumah terbabit.
"Suspek dipercayai membakar sebuah rumah untuk menuntut hutang, namun api yang marak telah merebak ke dua lagi rumah bersebelahan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, semakan lanjut mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau, namun hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah.
Polis turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan semasa kejadian, iaitu sepasang baju dan seluar serta sebatang pemetik api.
"Suspek kini direman selama enam hari bermula 14 April hingga 19 April bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau benda letupan dengan niat untuk membinasakan rumah.
"Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda,” katanya.