TAPAH - Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning memberi jaminan tidak akan mengingkari janji-janji yang dibuat sekiranya memenangi kerusi berkenaan.
Bawani KS berkata, pihaknya mahu fokus terhadap agenda membantu penduduk Ayer Kuning dan usaha sedemikian tetap diteruskan selepas diberi mandat.
Menurutnya, meskipun PSM bukan sebahagian daripada kerajaan, parti terbabit antara yang lantang memperjuangkan isu-isu rakyat misalnya gaji minimum dan skim pekerjaan.
"Sekarang kita sedang berusaha untuk mendesak kerajaan memperkenalkan skim pencen buat warga emas.
"Walaupun kita tidak memegang kuasa, kita mendesak kerajaan (lakukan perkara yang lebih baik). Jika kita berkuasa, sudah tentu kita akan bawa isu rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas sesi 'walkabout' menyantuni penduduk Ayer Kuning di sini pada Ahad.
Pengerusi PSM Perak itu berpandangan, partinya berjaya menunjukkan rekod prestasi positif di lapangan dan dalam kalangan penduduk Ayer Kuning dengan cara membantu pekerja mempertahankan hak masing-masing agar tidak ditindas.
"Kami melakukan kerja bantu petani, pemandu lori dan petugas pembersihan di sekolah serta hospital kerajaan.
"Pengundi boleh lihat rekod prestasi bahawa kami telah membantu banyak kes (di Ayer Kuning) dan kami terjun dalam politik bukan untuk cari duit," ujar peguam berusia 39 tahun tersebut.
Ditanya mengenai alasan PSM memilih untuk mencuba nasib kali kedua di Ayer Kuning, Bawani memaklumkan, rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan dan pembangkang pula memerlukan ‘kuasa ketiga’.
"Rakyat letih dan marah dengan apa yang berlaku dalam negara, terutama soal peningkatan isu berasaskan kaum serta janji-janji yang tidak ditunaikan oleh Pakatan Harapan.
"Ini bukan PRK biasa tetapi referendum daripada rakyat untuk memberi amaran kepada kerajaan supaya jalankan tugas mereka.
"Kalau tidak, rakyat akan 'kasi ajar'," tegasnya lagi.