BN perlu jernihkan hubungan dengan GRS - PKR Sabah

Iklan
Razeef Rakimin

KOTA KINABALU - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah berpandangan bahawa Barisan Nasional (BN) perlu menjernihkan hubungan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi mengelakkan Pakatan Harapan (PH) tersepit menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata, PKR Sabah menyambut baik keputusan UMNO-BN Sabah untuk bekerjasama dengan PH Sabah.

Iklan
Iklan

Razeef, yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR, menyifatkan ia sebagai langkah positif daripada BN dalam menghadapi PRN17 sebagai rakan gabungan dalam kerajaan Perpaduan.

"Seperti sedia maklum PRK Sabah dan PH terbuka untuk berkerjasama dengan rakan-rakan dalam kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRN17.

Iklan

"Sebelum ini juga telah diadakan sekali pertemuan tidak rasmi antara PH Sabah dan BN Sabah. Namun biarlah kerjasama yang dibentuk ini tanpa ada perselisihan dengan parti yang lain dalam kerajaan Perpaduan.

"Pada pandangan kami BN perlu menjernihkan hubungan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana kita tidak mahu pertelingkahan dua pihak ini menyebabkan PH tersepit di tengah dan seterusnya menyukarkan gerak kerja dari segi jentera ketika pilihan raya berlangsung," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Iklan

Tambah beliau, BN boleh memainkan peranan penting dalam kerajaan Sabah dalam usaha membangunkan semula negeri ini.

"Dalam masa sama ia tidak menghalang BN untuk menjadi semak dan imbang di dalam kerajaan negeri.

"Apa yang penting di sini adalah bagaimana BN dapat berperanan bersama PH dan GRS dalam kerajaan Sabah bersama-sama membangunkan negeri ini seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.

"Apa yang menjadi keutamaan adalah pembangunan ekonomi dan infrastruktur negeri serta kebajikan rakyat," katanya.

Sehubungan itu, Razeef berkata, PKR Sabah dengan autonomi yang ada akan mengadakan perbincangan bersama komponen PH untuk menentukan rakan kerjasama strategik.

"Ini akan memberi ruang yang baik dalam agenda reformasi di negeri ini selaras dengan Gagasan Malaysia Madani," ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan Bung Moktar yang mengatakan pertemuan secara tidak rasmi telah beberapa kali diadakan dengan pemimpin PH Sabah, Razeef memaklumkan bahawa pertemuan hanya diadakan sekali sahaja iaitu pada November tahun lalu.

"Tidak ada perbincangan rasmi antara BN Sabah dan PH Sabah setakat ini, hanya sekali pertemuan tidak rasmi dibuat," katanya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan Ketua UMNO Sabah merangkap Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar mengumumkan bahawa parti itu memutuskan akan bekerjasama dengan PH untuk menghadapi PRN17.

Bung Moktar mendakwa bahawa pertemuan secara tidak rasmi telah beberapa kali dibuat antara UMNO Sabah dengan pemimpin PH Sabah.