SHAH ALAM – Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali menyelar kenyataan bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Rafique dalam kenyataan berkata, komen Nazri dibuat secara melulu dan tanpa memahami intipati sebenar ucapan Tengku Maimun pada Persidangan Undang-Undang Komanwel ke-24 di Malta, baru-baru ini.
"Ucapan Ketua Hakim Negara jelas berpaksikan semangat Perlembagaan Persekutuan, khususnya konsep pengasingan kuasa. Cadangan beliau agar Perdana Menteri tidak terlibat dalam proses pelantikan hakim adalah untuk mengelakkan sebarang persepsi campur tangan politik terhadap badan kehakiman.
"Itu sahaja yang dicadangkan beliau, bukan lebih dari itu. Sangat malang apabila seorang bekas menteri dan ahli politik berpengalaman seperti Nazri gagal memahami asas perlembagaan negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Rafique turut mengingatkan bahawa cadangan tersebut sepatutnya disambut baik oleh semua pihak termasuk kerajaan, bukannya dijadikan asas untuk mengugut Ketua Hakim Negara dengan tindakan tatatertib.
Menurutnya, tindakan Nazri yang mencadangkan supaya satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyiasat ucapan Ketua Hakim Negara jelas menunjukkan kejahilan terhadap struktur Perlembagaan Persekutuan.
"Perkara 125 jelas menyatakan proses yang perlu dilalui sekiranya ingin mengambil sebarang tindakan terhadap hakim, apatah lagi Ketua Hakim Negara. Ini bukan soal suka atau tidak suka,” tegasnya.
Tambah Rafique, Ketua Hakim Negara hari ini merupakan individu yang sangat dihormati dan menjadi benteng terakhir rakyat daripada sebarang campur tangan badan eksekutif dan legislatif.
"Adakah hanya kerana beliau menyuarakan perkara yang sudah lama dibincangkan dalam kalangan rakyat biasa, beliau kini dijadikan sasaran? Ini bukan politik, ini soal kedaulatan undang-undang.
"Kami menyokong penuh saranan Ketua Hakim Negara. Hanya mereka yang kuat bermain politik dan mencari modal murahan sahaja yang akan menyerangnya,” katanya lagi.