SHAH ALAM - Isu tempatan masih lagi memainkan peranan penting dalam mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning meskipun lazimnya isu nasional lebih mendominasi kempen pilihan raya.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, hal ini memandangkan terdapat keperluan untuk parti-parti bertanding menangani isu harian penduduk setempat.
Beliau memberitahu, kajian awal dilakukan firma penyelidikan bebas itu mendapati sebahagian lokaliti di DUN Ayer Kuning mempunyai tuntutan tertentu kepada pihak-pihak bertanding untuk menyelesaikan masalah harian mereka.
"Sebagai contoh, terdapat rungutan penduduk Ayer Kuning tentang jajaran laluan sehala di pekan Tapah yang bermasalah hingga menyebabkan penduduk terpaksa ambil jalan agak jauh berbanding sebelum ini.
"Ada juga penjaja dan peniaga mengadu bahawa mereka tidak lagi boleh berniaga disebabkan tiada penempatan alternatif ditawarkan akibat perubahan jalan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Hisomuddin berpandangan, tuntutan sebegini jelas menunjukkan bahawa suara rakyat di peringkat lokal masih perlu diberi perhatian serius oleh calon dan parti bertanding.
Sementara itu, mengulas impak PRK terhadap parti bertanding, beliau berpandangan kemenangan BN akan memberi suntikan semangat baharu bahawa parti itu mendapat sokongan semula orang Melayu.
"Namun jika PN berjaya menawan DUN Ayer Kuning, pencapaian itu dianggap kejayaan besar koalisi itu kerana mereka berjaya menembusi kubu kuat BN,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau melihat kempen berskala besar seperti ceramah umum dan rapat mega semakin kurang efektif dalam landskap politik semasa, sebaliknya pendekatan ceramah mikro dan kunjungan rumah ke rumah lebih mendapat tempat dalam kalangan pengundi ketika ini.
"Jika ceramah secara besar-besaran diteruskan, risiko yang dihadapi adalah kekurangan audiens hingga memberi impak negatif serta berpotensi menjadi serangan yang memakan diri.
"Jadi pendekatan yang lebih berkesan sekarang ini seperti ceramah berskala kecil, ceramah kelompok dan kempen melalui media sosial, seperti yang telah diaplikasikan BN sejak beberapa siri pilihan raya,” katanya.