Redakan ketegangan dagangan

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Xi Jinping di Dewan Besar Rakyat, Beijing, China pada 7 November 2024. (Gambar kecil: Baharom, Aimi Zulhazmi)

SHAH ALAM - Lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia dilihat sebagai peluang kerajaan meredakan ketegangan perdagangan global khususnya dalam mencari jalan keluar terhadap tekanan tarif oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Penganalisis ekonomi INCEIF University, Profesor Baharom Abdul Hamid berkata, pertemuan dua hala antara dua negara dengan Malaysia yang baharu dilantik sebagai Pengerusi ASEAN 2025, membuka ruang kerjasama lebih luas dalam mengurus semula aliran dagangan serantau.

Iklan
Iklan

"Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia boleh memainkan peranan penting untuk membincangkan strategi bagaimana negara anggota dapat mengurangkan tekanan perdagangan.

"Contohnya, jika sesebuah negara ASEAN atau Malaysia sendiri berdepan sekatan tarif daripada AS, mungkin barangan itu boleh dieksport kepada China dan begitu juga sebaliknya,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan lawatan negara Xi Jinping ke Malaysia pada minggu depan bakal memperkukuh hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.

Mengulas lanjut, Baharom berkata, landskap ekonomi dunia kini jauh berbeza dan tidak lagi tertumpu kepada satu kuasa besar sahaja.

Iklan

Jelasnya, ketika ini terdapat kewujudan banyak blok ekonomi yang sudah berkembang pesat serta mampu menjadi alternatif kepada pasaran.

"Zaman dah berubah, teknologi terkini tidak lagi tertumpu di AS semata-mata. Kita lihat China atau beberapa negara ASEAN, mereka turut berkembang dalam bidang ini.

"Saya percaya selepas tempoh tiga bulan penangguhan tarif ini, Trump mungkin muhasabah diri kerana bukan mudah untuk AS menggugat negara besar seperti China,” jelasnya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menyifatkan, kehadiran pemimpin ekonomi kedua terbesar dunia itu bukan sekadar lawatan biasa malah membawa signifikan besar kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

"Lawatan ini tepat pada waktunya dengan perang tarif yang kian memuncak antara AS dan China, rundingan bersama Malaysia dan blok ASEAN dilihat sebagai alternatif penting dalam mencorakkan semula landskap perdagangan antarabangsa.

"Sebagai rakan dagang utama Malaysia selama lebih 15 tahun berturut-turut, keutamaan kini tertumpu kepada usaha memperkukuh kesinambungan kerjasama dua hala agar hubungan perdagangan kekal utuh walaupun cabaran perdagangan global dijangka perlahan menjelang 2025,” ulasnya.

Tambah Aimi Zulhazmi, kedatangan pemimpin China itu juga menimbulkan sisa-sisa harapan sama ada terdapat kemungkinan cadangan projek mega baharu seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Bangkok dapat direalisasikan.

"Projek infrastruktur mega yang dibiayai China sekarang ialah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka siap pada 2026.

"Kedatangan Presiden China ini juga sangat dinantikan bagi mengetahui akan ada lagi projek mega baharu seperti itu bakal dilaksanakan dalam negara.

"Sekiranya ini berlaku maka industri pembinaan dijangka mendapat manfaat yang besar sebagai pemangkin kepada ekonomi negara yang signifikan,” katanya lagi.

Beliau berkata, selain dagangan dan pelaburan, Malaysia mempunyai banyak perkara yang boleh dipelajari daripada China terutama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi penciptaan.