KUALA LUMPUR - Gelombang kemasukan motosikal buatan China ke negara ini sejak beberapa tahun lalu menyebabkan peratusan komuniti rakyat Malaysia yang beralih kepada penggunaan motosikal jenama negara berkenaan kini semakin meluas dan bercambah.
Jurutera teknologi maklumat, Mohd Haziq Razali, 40, yang memiliki motosikal jenis Zontes 350E berpandangan, pengguna motosikal buatan China tidak lagi termakan dengan persepsi kualiti dan daya tahan motosikal jenama negara berkenaan tidak mencapai standard tinggi sebagaimana motosikal jenama Jepun.
Sebaliknya, dia menegaskan motosikal jenis Zontes yang dibelinya dengan harga RM30,000 serta dipasang secara tempatan (CKD) di Gurun, Kedah kini lebih mudah diperolehi barangan alat ganti di samping penerimaan tawaran servis kenderaan dengan harga lebih murah.
"Sejak membeli motosikal Zontes enam bulan lalu, saya rasa tiada sebarang masalah dengan jentera motosikal buatan China berkenaan.
"Saya sangat puas hati dengan kualitinya, paling penting tawaran servis jentera Zontes juga sangat murah.
"Saya juga tidak takut berdepan masalah kesukaran mencari alat ganti motosikal jenama ini. Ini kerana komuniti penggunaan motosikal Zontes sudah semakin besar di Malaysia dan proses pencarian barangan alat ganti juga semakin mudah,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohd Haziq turut berkeyakinan membeli motosikal jenama China ini disebabkan ketahanan enjin dan kualiti keseluruhan motosikal selain sudah lama bertapak dalam pasaran Eropah.
Tambahnya, motosikal China juga dilengkapi dengan beberapa kemudahan lain seperti kamera papan pemuka, spotlight dan sebagainya sedangkan produk negara Jepun dan Eropah memerlukan pemilik menambahnya sendiri.
"Dari segi kualiti dan ketahanan jentera, motosikal saya ini sudah lama berada dalam pasaran Eropah dan terbukti tahan lasak.
"Paling penting, motosikal jenama China terkini telah menawarkan pelbagai aksesori dan spesifikasi yang memberi nilai tambah penting kepada penggunanya, tanpa perlu saya keluar duit untuk memasangnya sendiri,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna motosikal China, Mohd Hasrul Harun, 44, berpandangan motosikal buatan China kini bukan sahaja setanding dari segi teknologi dan kualiti dengan jenama Eropah dan Jepun malah menawarkan penjimatan sehingga tiga kali ganda.
Jelasnya, ramai pengguna masih terikat dengan persepsi lama bahawa produk dari China tidak tahan lama, sedangkan realitinya jauh berbeza hasil kemajuan teknologi negara itu.
Menurut Mohd Hasrul, teknologi China pada masa kini lebih bagus ditambah dengan tawaran paling maksimum menyebabkan dia beralih arah kepada motosikal buatan negara itu.
"Sebelum ini saya pakai motosikal jenama lain dan sekarang saya beli motosikal China jenama Voge DS900X pada harga sekitar RM49,000. Lebih murah dua kali ganda berbanding Jepun dan tiga kali ganda dari Eropah.
"China juga sentiasa menawarkan teknologi baharu. Kalau 10 tahun lepas mungkin tidak tahan lama tetapi sekarang teknologi China lebih hebat berbanding Eropah,” katanya.