KUANTAN –"Kebun durian yang dibina secara haram atas tanah hutan simpan bukan rezeki, tapi jenayah alam sekitar.”
Demikian kata Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun ekoran tindakan penguatkuasaan oleh kerajaan negeri yang memusnahkan kebun durian musang king haram di Sungai Ruan dan Sungai Klau di daerah ini bermula 8 April lalu.
"Apabila kerajaan Pahang buat penguatkuasaan, ada pihak ambil kesempatan, cuba mempolitikkan isu dan raih sokongan.
"Yang Berhormat dari DAP cepat-cepat datang rakam video kononnya nak jadi hero petani,” katanya dalam klip video berdurasi tiga minit 15 saat di aplikasi TikTok miliknya.
Menurutnya, tidak timbul isu Rancangan Buku Hijau seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen, Chow Yu Hui.
"Tolong jangan kelirukan rakyat, jangan timbulkan isu berbaur perkauman.
"Rancangan Buku Hijau bukan geran tanah, ia menggalakkan petani menanam tanaman kontan bagi tujuan keterjaminan makanan dan tanaman kontan ialah tanaman singkat masa yang memberi pulangan cepat,” ujarnya.
Jelasnya, tanaman kontan seperti sawit, kubis, bayam, jagung namun durian tidak termasuk dalam kategori tersebut.
"Saya nak tanya, adakah durian tanaman kontan? Ingat tak beberapa tahun lalu, seorang bekas tentera dikenakan penjara dua tahun dan denda RM50,000 kerana tanam sayur di hutan simpan.
"Baru-baru ini pula di Lipis, seorang lelaki didenda RM200,000 kerana membina kolam ikan di tanah milik kerajaan negeri,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Siew Mun menegaskan isu ini bukan isu perkauman dan undang-undang tetap sama untuk semua kaum.
Beliau turut menimbulkan persoalan terhadap tindakan ahli Parlimen itu kerana partinya adalah sebahagian daripada kerajaan negeri, memiliki Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Exco dan Timbalan Speaker, tetapi lebih selesa menggunakan media sosial.
"Jadi, kenapa tidak bawa suara pekebun ke meja rundingan? Kenapa tidak cari penyelesaian dalam Mesyuarat Exco?
"Kenapa lebih selesa buat video di luar, hasut rakyat dan mainkan sentimen emosi sebegini?
"Pekebun susah memang betul, tapi bukan dengan cipta drama kita dapat jalan keluar,” tambahnya.
Beliau meminta agar ahli Parlimen tersebut menghentikan politik murahan, sebaliknya memanfaatkan saluran sedia ada yang lebih efektif.
"Kalau nak tolong pekebun, bawa suara mereka ke meja kerajaan, bukan ke media sosial.
"Anda wakil rakyat yang diberikan mandat oleh rakyat, bukan cybertrooper atau Red Bean Army yang kerjanya cetuskan provokasi.
"Ini bukan soal kaum, ini soal masa depan negeri kita. Dan jangan terburu-buru labelkan saya. Saya team rakyat,” tambahnya.