Isu tauliah: Tiba masa, saya akan jawab, kata Ustaz Muhaimin

Iklan
Abd Muhaimin. Foto Bernama

TAPAH - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Abd Muhaimin Malek enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan dirinya menipu dalam urusan permohonan tauliah mengajar agama Islam di negeri ini.

Beliau berkata, strategi PN kali ini hanya memfokuskan kepada isu yang dihadapi rakyat Ayer Kuning dan tidak berhasrat melayan sebarang provokasi daripada pihak lawan.

Iklan
Iklan

"Kalau isu itu (tauliah), saya tidak mahu beri komen. Saya mahu orang tanya apa harapan yang boleh saya bawa kepada rakyat.

"Tak mengapa, biarlah mereka hendak mainkan isu itu. Jika sampai masanya, insya-ALLAH kita akan jawab,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas menunaikan solat Zohor di Masjid Jamek Tapah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini pada Ahad.

Sebelum ini, timbul dakwaan daripada beberapa pihak bahawa Abd Muhaimin didakwa menipu dalam proses permohonan mendapatkan tauliah mengajar agama Islam.

Iklan

Terbaharu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi memaklumkan bahawa tindakan tegas perlu diambil tanpa kompromi sekiranya dakwaan tersebut benar, kerana rakyat Ayer Kuning berhak memilih pemimpin yang bersih, berintegriti dan menghormati institusi negeri.

Menurut beliau, tauliah mengajar agama Islam di negeri ini dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Mufti Negeri Perak menerusi Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak.

Jelasnya lagi, permohonan mendapatkan tauliah perlu melalui proses yang ketat termasuk ujian bertulis, temu duga serta tapisan latar belakang.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi itu menambah, kelulusan akhir hanya diberikan selepas mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Ketua Agama Islam negeri.

Menurutnya, sebarang cubaan menipu dalam permohonan tauliah bukan sahaja mencemarkan nama baik agama, malah merupakan satu penghinaan terhadap institusi diraja dan dianggap derhaka kepada titah Sultan Perak.