Kebun durian: Ahli Parlimen Raub antara individu akan dipanggil bantu siasatan

Iklan
Chow Yu Hui

KUANTAN - Polis akan memanggil lima individu termasuk Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui bagi membantu siasatan kes menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan kebun durian di Raub baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abd Rahman berkata, Yu Hui yang juga Penasihat Save Musang King Alliance (SAMKA) akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Iklan
Iklan

"Setakat ini tiga laporan polis telah diterima melibatkan operasi itu dan siasatan sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Ahad.

Pada Sabtu, polis memaklumkan menerima tiga laporan oleh pegawai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), pihak polis dan badan bukan kerajaan (NGO).

Iklan

Sementara itu, Mohd Shahril memaklumkan operasi penguatkuasaan di kebun durian akan diteruskan seperti biasa oleh pihak berkuasa.

Sebelum ini, media melaporkan pekebun didakwa telah bertindak menghalang laluan dengan membawa kain rentang bagi menunjukkan ketidakpuasan hati kerana penguat kuasa memusnahkan tanaman mereka yang berusia puluhan tahun namun keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang insiden.

Iklan

Kerajaan Pahang juga menafikan telah melanggar perintah mahkamah dengan menebang kira-kira 200 pokok durian musang king dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub pada 8 April lepas. - Bernama