PASIR GUDANG - Dakwaan kononnya berlaku pergesaran dalaman antara Pemuda UMNO Bahagian Tapah dengan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning disifatkan sebagai satu cubaan menggugat keharmonian parti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tiada sebarang protes atau boikot daripada mana-mana sayap parti termasuk Pemuda Bahagian.
"Semalam, saya sendiri berada di sana, tidak ada sebarang tanda penolakan atau bantahan. Malah, semua pihak termasuk jentera Pemuda dan Wanita hadir memberi sokongan penuh.
"Mungkin isu ini disebarkan sebagai usaha terdesak untuk memecahbelahkan kekuatan jentera BN.
"Hakikatnya, kerja-kerja kempen berjalan lancar dan semua jentera bekerjasama rapat demi memastikan kemenangan calon parti,” katanya.
Menteri Pertahanan itu berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan sebuah stesen minyak di Bandar Seri Alam di sini pada Ahad.
Sebelum itu, media melaporkan terdapat segelintir ahli sayap Pemuda UMNO itu kecewa kerana wakil mereka tidak terpilih sebagai calon BN bagi PRK Ayer Kuning.
Pemuda UMNO dilaporkan mengemukakan calon tunggal mereka, namun pucuk pimpinan parti memilih Dr Mohamad Yusri Bakir yang juga Setiausaha UMNO Tapah mewakili BN.
Bagaimanapun Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pemuda tidak sesekali akan memboikot PRK berkenaan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan kerjasama antara Mohamad Yusri dengan Ketua Pemuda UMNO bahagian tersebut, Fahmi Ahmad Jakhisi berada pada tahap baik.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Februari lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April, manakala pengundian awal pada 22 April.