MELAKA - [DIKEMAS KINI] Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menang jawatan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya, manakala Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Ketua Cabang sama.
Menerusi kemas kini di laman sesawang keputusan pengundian Pemilihan Keadilan 2024 memaparkan Shamsul Iskandar memperoleh 1,995 undi menewaskan pencabar yang juga penyandang terdahulu, Mohd Rafee Ibrahim dengan 736 undi.
Sementara Adam Adli memperoleh 791 undi, tewas kepada Zamzizul Nordin yang memperoleh 1,905 undi.
Sejumlah 3,558 ahli layak mengundi pada Pemilihan Cabang Hang Tuah Jaya dengan 2,733 kertas undi dikeluarkan pada Sabtu.
Sebanyak enam Cabang PKR Melaka menjalankan pemilihan pada hari sama membabitkan Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya dan Jasin.
Untuk rekod, Shamsul Iskandar sebelum ini menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya pada 2022 namun tewas kepada Mohd Rafee.
Beliau sekali lagi menawarkan diri berkhidmat selama tiga tahun bagi sesi 2025-2028 bersama kepimpinan baharu di cabang PKR Hang Tuah Jaya bertemakan Keadilan Memimpin.
Beliau sebelum ini merupakan Ketua Cabang Jasin dari 2019 hingga 2022.