KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai makanan sejuk beku, sosej babi dan barangan runcit seludup bernilai RM14,096 dalam tiga serbuan berasingan di Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor dekat sini pada Sabtu.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid berkata, rampasan pertama jam 2.30 petang dilakukan di pangkalan haram Epek, Lubok Jong selepas menjumpai beberapa bungkusan di kawasan tebing Sungai Golok.
"Hasil pemeriksaan telah menjumpai 240 paket makanan sejuk beku Thailand bernilai RM12,000 yang disyaki untuk dijual ke pasaran tempatan.
"Serbuan kedua pada jam 6.30 petang PGA telah menahan sebuah pacuan empat roda di Jalan Kasban, Kampung Tualang dekat Pengkalan Kubor," katanya kepada pemberita pada Ahad.
Menurut beliau, pemeriksaan telah menjumpai pelbagai barangan runcit bernilai RM1,496.
Ujarnya, suspek berusia 20 tahun yang dipercayai menjadi penghantar barangan tersebut ke pasaran tempatan telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Nik Ros Azhan berkata, serbuan seterusnya jam 9.30 malam membawa kepada rampasan 15 paket sosej babi bernilai RM600 yang ditemukan di tepi Sungai Golok selepas ditinggalkan oleh sekumpulan penyeludup selepas terkejut dengan kehadiran anggota PGA.
"Kesemua kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
"PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara," katanya.