Pemilihan PKR: Setiausaha Politik PM menang Ketua Cabang Alor Setar

Iklan
Chan Ming Kai

ALOR SETAR - Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu Chan Ming Kai, berjaya memenangi jawatan Ketua Cabang PKR Alor Setar dalam pemilihan parti yang berlangsung pada Jumaat.

Bekas Ahli Parlimen Alor Setar itu memperoleh 932 undi, mengalahkan pencabarnya, Ang Say Thong, yang meraih 471 undi.

Iklan
Iklan

Kemenangan tersebut menyaksikan Ming Kai kembali ke arena politik Cabang PKR selepas memainkan peranan penting di peringkat nasional.

Sementara itu, Datuk Zamri Yusuf, yang sebelum ini menyandang jawatan Ketua Cabang, memenangi jawatan Timbalan Ketua dengan 768 undi, menewaskan Fadhlurrahman Zawawi yang meraih 621 undi.

Iklan

Pemilihan PKR turut menyaksikan beberapa keputusan menarik di cabang lain di Kedah apabila Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari, menang tanpa bertanding untuk jawatan Ketua Cabang PKR Sungai Petani manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Loh Wei Chai, turut menang tanpa bertanding sebagai timbalan.

Walau bagaimanapun, kejayaan Mohammed Taufiq gagal diikuti oleh Mohammed Firdaus, iaitu seorang lagi anak kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, apabila tewas kepada S. Poobalan bagi jawatan Ketua Cabang Jerai.

Iklan

Di Langkawi, Ketua Cabang, Ismail Wasi Ahmad Shafawi, berjaya mempertahankan jawatannya dengan 660 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Mohamad Rudzi Samsudin pula memenangi jawatan Ketua Cabang PKR Jerlun, menewaskan bekas calon PH, Dr Mohamed Fadzil Mohd Ali.

Di Kubang Pasu, Azizi Azizan muncul pemenang dalam pertandingan empat penjuru bagi jawatan Ketua Cabang, manakala S. Sugumar memenangi jawatan Timbalan.

Di Kuala Kedah, bekas Ahli Parlimen, Dr Azman Ismail, tewas kepada Mohamad Shakir Lukman Hakim, manakala Datuk Muhamad Nasrul Nizar Abd Rahman memenangi jawatan Timbalan.

Datuk Halim Khomiza menewaskan penyandang, Datuk Zulkifly Mohamad, untuk jawatan Ketua Cabang Pendang, dengan Sazari Mohamad sebagai Timbalan.

Sebanyak 15 cabang dan wanita cabang PKR di Kedah selesai pengundian pada Jumaat, namun pengundian untuk Angkatan Muda Keadilan (AMK) ditangguhkan akibat masalah teknikal dan dijadualkan semula pada Sabtu.