BACHOK - Peruntukan pembangunan untuk Kelantan bagi tahun ini meningkat dua kali ganda kepada RM3.19 bilion berbanding hanya RM1.55 bilion pada 2022, sekali gus mencerminkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap kemajuan negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan besar itu meliputi pelbagai projek infrastruktur utama dan bantuan kepada rakyat di negeri berkenaan.
"Lebih RM1 bilion digunakan untuk pembinaan jalan termasuk meneruskan projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama, RM500 juta untuk projek air seperti Loji Rawatan Air Machang, RM100 juta untuk program Rumah Mesra Rakyat dan bantuan rumah.
"Selainnya, sekitar RM50 juta untuk pekebun kecil getah di bawah Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah,” katanya ketika berucap pada Majlis Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, peningkatan itu membuktikan komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan pembangunan negeri tidak dipinggirkan walaupun berada di bawah pentadbiran parti berbeza.
"Kita bantu rakyat, bukan kerana mereka undi siapa, tapi kerana mereka rakyat negara ini yang berhak dibantu,” katanya.
Anwar berkata, selain peruntukan pembangunan, kerajaan turut memperuntukkan RM762 juta kepada Kelantan pada tahun 2024, meningkat 30 peratus berbanding RM588 juta tahun sebelumnya.
Sementara itu, Terengganu menerima RM2.02 bilion tahun lalu, meningkat 28 peratus berbanding RM1.57 bilion pada 2023.
Kata beliau, peningkatan ini merangkumi pemberian seperti Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP), geran per kapita, wang ihsan dan peruntukan bawah senarai bersama.
"Ini menjadi sumber utama hasil negeri, khususnya Kelantan dan Terengganu yang masing-masing hanya menjana sekitar RM500 juta dan RM250 juta hasil negeri sendiri,” katanya.
Bagi membasmi kemiskinan pula, menurut beliau, Kelantan menerima peruntukan RM25 juta manakala Terengganu RM60 juta bagi tahun 2025.
Anwar berkata, bantuan itu meliputi skim makanan asas, pembinaan dan baik pulih rumah daif serta latihan kemahiran untuk membolehkan rakyat berdikari.