SHAH ALAM –"Umi pergi sebagai tetamu ALLAH SWT, dan ALLAH memilih menjemput umi di tanah paling mulia."
Demikian luahan seorang pemuda, Abdul Aziz Che Noranuwi, 21, apabila ibunya, Hamidah Darus, 60, meninggal dunia ketika sujud solat Subuh di Makkah pada 3 April lepas.
Abdul Aziz berkata, kejadian yang berlaku pada hari raya keempat itu meninggalkan kesan mendalam buat dia dan empat adik-beradiknya, lebih-lebih lagi mereka masih merasai kehilangan bapa yang meninggal dunia pada 2021.
"Umi, aku reda. Walau jiwa ini masih menangis dalam diam. Aku percaya, ALLAH telah memberikan umi kemuliaan yang tak ternilai.
Menurut komen pemuda itu dalam video sama, ibunya mempunyai hajat untuk menunaikan umrah selama satu bulan pada Ramadan tahun ini dan ingin meninggal dunia di Tanah Suci, sekali gus dia tidak menyangka hasrat itu menjadi kenyataan.
Apabila diminta berkongsi tentang amalan ibunya ketika hayatnya, Abdul Aziz memberitahu, ibunya yang merupakan bekas guru amat baik hati dan gemar bersedekah.
Kongsi Abdul Aziz lagi, arwah ibunya ada mengalami demam sewaktu berada di sana, namun mereka menganggap ia perkara biasa disebabkan perubahan cuaca.
Sehubungan itu, pemuda itu turut menitipkan supaya anak-anak tidak melepaskan sebarang peluang untuk merakam atau menangkap banyak gambar untuk dijadikan memori.
Pada 2 Mac lepas, Hamidah berangkat ke Tanah Suci dan dijadualkan pulang ke tanah air pada 6 April.
Difahamkan, Hamidah menghidap kencing manis, namun disahkan sihat dan layak menunaikan umrah selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.
Video terakhir arwah yang melambai tangan sewaktu berada di lapangan terbang sebelum berlepas ke Makkah kini tular di media sosial dan mengundang sebak warga maya.