SHAH ALAM - Pemilik bubu naga dikesan mula menggunakan alat peranti sistem kedudukan globaltana (GPS) bagi menandakan lokasi perangkap ikan haram mereka.
Penggunaan alatan itu mula dikesan sejak akhir-akhir ini, berbanding kaedah lama yang menggunakan boya atau bendera sebagai tanda fizikal ke atas bubu naga yang diletakkan di lokasi tertentu.
Dipercayai proses meletakkan alatan menangkap ikan haram di perairan itu dilakukan warga asing yang diupah individu tempatan yang mahu keuntungan mudah.
Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, perubahan modus operandi ini dikesan hasil pemantauan berkala dan risikan yang dijalankan pihaknya bersama agensi penguat kuasa lain.
"Risikan DOF mendapati mereka tidak lagi membawa pulang bubu naga ke jeti untuk dicuci.
"Sebaliknya, mereka mencuci peralatan itu di tengah laut dan hanya menggunakan GPS untuk menandakan lokasi pemasangan bubu,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.
Menurutnya, pemantauan dan operasi bersepadu bersama Pasukan Polis Marin (PPM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mengurangkan penggunaan bubu naga secara signifikan.
Noraisyah memberitahu, pihaknya telah menjalankan beberapa siri operasi yang membawa kepada penyitaan ratusan bubu naga dan sampan yang digunakan untuk aktiviti ini.
Jelasnya, jumlah aduan berkaitan bubu naga juga menunjukkan penurunan ketara sejak penguatkuasaan diperketatkan.
"Statistik menunjukkan sebanyak 350 unit bubu naga sebulan telah disita sepanjang 2024, meningkat daripada 200 unit sebulan yang dirampas pada tahun sebelumnya.
"Dalam masa yang sama, lebih 10 buah sampan yang digunakan untuk aktiviti haram ini turut ditahan, menunjukkan keseriusan pihak berkuasa dalam membanteras penggunaan peralatan haram tersebut,” tegas beliau.
Noraisyah menjelaskan bahawa pihaknya kini memberi tumpuan kepada pengguna bubu naga yang bukan terdiri daripada nelayan berlesen.
"Kebanyakan nelayan tempatan mematuhi peraturan, tetapi pemilik bubu naga yang tidak mempunyai lesen ini mengajikan warga asing untuk keluar ke laut mengusahakan perangkap ikan haram,” katanya.
Alih bubu naga ke lokasi berbeza
Beliau memberitahu, hasil operasi terkini mendapati terdapat kumpulan tertentu yang masih degil dan berusaha mengaburi mata penguat kuasa dengan menukar taktik mereka.
"Antara taktik yang digunakan termasuk memasang serta mengalihkan perangkap ke lokasi berbeza setiap beberapa hari bagi mengelak dikesan,” katanya.
Noraisyah berkata, dalam satu kes pendakwaan pada awal 2025, seramai 10 warga Myanmar telah dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Sesyen Kuala Selangor atas kesalahan mengusahakan bubu naga di perairan negeri ini.
"Mereka didakwa di bawah Perenggan 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa permit di atas vesel tanpa nombor dan Perenggan 26(1)(a) akta yang sama kerana menangkap ikan menggunakan bubu naga.
"Hakim menjatuhkan hukuman denda antara RM15,000 hingga RM30,000 serta penjara antara 15 hingga 30 bulan kepada tertuduh yang terdiri daripada nakhoda dan awak-awak,” katanya.
Walaupun jumlah bubu naga yang ditemui di jeti telah berkurangan, Noraisyah menegaskan bahawa pemantauan di laut masih menjadi keutamaan.
"Kita tidak akan berkompromi. Walaupun mereka menukar taktik, kita akan terus melakukan risikan dan operasi bersepadu,” ujarnya.
Jelas beliau, penggunaan bubu naga bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi juga mengundang konflik antara pengusaha haram ini dan nelayan tradisional.
"Ada laporan mengatakan jaring pukat hanyut nelayan tempatan rosak kerana tersangkut pada bubu naga yang ditinggalkan di laut.
"Ini menyebabkan mereka mengalami kerugian dan menjejaskan sumber pendapatan mereka,” katanya.
Menurut beliau, penggunaan peralatan ini juga memberi kesan kepada ekosistem laut kerana banyak anak ikan turut terperangkap dalam perangkap haram ini.