MENJELANG musim haji, bakal jemaah di tanah air giat membuat persiapan fizikal dan rohani bagi menunaikan ibadah tersebut.
Mengakui bahawa terpilih menjadi tetamu ALLAH SWT adalah satu rahmat, rata-rata bakal haji sedar bahawa kekuatan fizikal dan mental amat diperlukan bagi melaksanakan Rukun Islam kelima itu dengan sempurna.
Pegawai agensi kerajaan, Mohd Zubir Md Idris, 47, berkata, beliau kini banyak membuat aktiviti fizikal selain menjaga pemakanan sebagai persediaan awal sebelum dijangka berangkat ke Tanah Suci 12 Mei depan.
Bapa kepada dua anak itu berkata, jika kebiasaannya beliau ke masjid menaiki motosikal namun, kini lebih memilih berjalan kaki berulang-alik ke masjid yang terletak kira-kira 1.6 kilometer dari rumahnya.
"Kalau ada masa lapang saya juga akan lakukan pelbagai aktiviti termasuk berkebun untuk kuatkan stamina.
"Saya juga banyak makan sayur-sayuran dan mengurangkan makanan berat,” katanya.
Bercerita lanjut, Mohd Zubir dari Seri Kembangan, Selangor berkata, beliau yang mendaftar haji sejak tahun 2015 bersyukur rayuannya untuk menunaikan ibadah tersebut akhirnya bakal terlaksana selepas 10 tahun.
"Ini pertama kali saya akan kerjakan haji. Februari lalu saya mengerjakan umrah, saya doa depan Kaabah untuk pergi haji, seminggu lepas balik umrah, saya terima tawaran untuk tunaikan haji.
"Memang ini yang dinanti-nantikan selama ini, insya-ALLAH saya akan ke Makkah bersama isteri, Nor Kamilah Sa’at, 46. Lebih menggembirakan lagi apabila saya mengetahui tiga bekas rakan sekelas semasa di sekolah menengah turut tunaikan haji tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengenai kefahaman ibadah haji, beliau mengakui tidak mempunyai kesukaran kerana boleh mempelajarinya daripada bapa mentua yang juga bekas tenaga pengajar di Lembaga Tabung Haji (TH).
"Harapan saya supaya dapat kembali nanti dengan haji yang mabrur,” ujarnya.
Pensyarah, Dr Wan Pauzi Wan Ibrahim, 64, pula, dia mula mengamalkan latihan fizikal sebagai persediaan menghadapi cabaran ibadah haji.
Wan Pauzi yang dijangka berangkat ke Tanah Suci pada 23 Mei depan berkata, beliau juga sedang mempersiapkan keperluan haji lain.
"Saya melakukan latihan fizikal bagi memastikan bersedia untuk mengerjakan tawaf, sai dan melontar jamrah dengan lancar.
"Setiap hari saya berdoa semoga ALLAH mempermudahkan urusan haji. Walaupun sudah terpilih, yang menentukan sama ada saya benar-benar dapat menunaikan ibadah ini adalah ALLAH,” katanya.
Ditanya mengenai harapannya selepas kembali dari menunaikan haji, Wan Pauzi dari Kota Bharu, Kelantan berkata, beliau ingin mengekalkan amalan ibadah yang dilakukan sepanjang musim haji.
"Saya berdoa semoga ALLAH terus mengurniakan kesihatan fizikal dan mental yang baik supaya saya dapat terus istiqamah dalam melaksanakan ibadah wajib dan sunat setiap hari sebagaimana yang dipraktikkan ketika menunaikan haji,” katanya.
Sementara itu, guru, Nur Hedzlin Omar, 46, dari Kampung Gajah, Perak berkata, beliau pernah menerima tawaran menunaikan ibadah haji pada tahun 2019 namun terpaksa menolak kerana baru sahaja melahirkan anak.
Beliau sememangnya berhasrat untuk menunaikan haji pada usia 45 tahun kerana ketika itu wanita dibenarkan pergi tanpa mahram.
"Awal tahun ini, saya membuat semakan tetapi tidak tersenarai sehinggalah pihak TH menghubungi saya dua minggu kemudian untuk memaklumkan bahawa saya terpilih. Saya terkejut juga,” kata Nur Hedzlin.
Ditanya mengenai persediaan bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu, Nur Hedzlin berkata, beliau telah membeli kelengkapan secara beransur-ansur.
Kongsi Nur Hedzlin, dari segi persiapan fizikal, pemeriksaan perubatan yang dijalani menunjukkan kesihatannya dalam keadaan baik.
"Doktor menyarankan supaya saya mula berlatih berjalan. Pada bulan Ramadan agak mencabar, tetapi selepas raya saya memulakan latihan berjalan jauh sebagai persediaan untuk tawaf, sai dan melontar jamrah.
"Sudah tentu saya mahu terus beristiqamah dalam melakukan perkara yang lebih baik daripada sekarang, baik dari segi tingkah laku mahupun ibadah,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Urusan Kumpulan TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman berkata, penerbangan pertama jemaah haji dari Malaysia tahun ini dijadualkan pada 29 April depan manakala kumpulan terakhir jemaah akan berlepas ke Tanah Suci pada 30 Mei.
Katanya, penerbangan balik pertama pula dijadualkan pada 14 Jun sementara penerbangan balik terakhir pada 10 Julai.