SHAH ALAM – Ibu bapa perlu lebih terbuka dalam mendidik anak-anak berkaitan isu seksualiti dan batas pergaulan bagi membendung gejala sosial dalam kalangan kanak-kanak mahupun remaja.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, pendidikan awal berkaitan isu akil baligh dan maruah diri perlu bermula dari rumah sebelum dilakukan pendidik di sekolah.
Beliau berpandangan, ibu bapa adalah pihak paling utama yang mampu mencorakkan pemikiran dan tingkah laku anak-anak sejak awal usia.
"Jadi, peranan ibu bapa sangat penting untuk mencorakkan anak-anak mereka itu dari awal. Jangan malu untuk bincang perkara sebegini terutama apabila anak sudah mencapai akil baligh.
"Jadi, ibu bapa ada tanggungjawab dan semua kena beritahu kepada anak-anak, tentang batas-batas pergaulan, tentang seksualiti dan sebagainya. Kena ajar dengan cara yang betul iaitu dengan mengikut syarak, tidak boleh dibiarkan begitu,” katanya.
Mohd Sukki menegaskan bahawa sikap malu atau segan dalam kalangan ibu bapa untuk berbincang isu tersebut boleh membawa kesan buruk kepada perkembangan anak-anak dalam era digital yang serba terbuka.
"Sedangkan perkara itu perlu, zaman sekarang zaman yang agak terbuka. Jika ibu bapa tidak bincang, anak-anak sendiri akan meneroka perkara seperti itu, dia akan layari dalam internet dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya lagi, kemudahan akses internet yang mudah ketika ini turut menuntut ibu bapa memainkan peranan lebih aktif dalam memantau serta membimbing anak-anak mereka.
"Dunia tanpa sempadan sekarang ini, di mana-mana saja ada internet, ada WiFi. Dan setiap budak pula hari ini ada telefon pintar, jadi menyebabkan mereka mudah untuk akses di mana-mana saja mereka berada,” katanya.
Mohd Sukki mengakui akses internet tanpa kawalan yang mengandungi kandungan tanpa tapisan dan lucah memberi pengaruh negatif kepada pemikiran dan tingkah laku kanak-kanak dan remaja.
Bagaimanapun, beliau turut menambah, antara punca berlakunya kes berkaitan salah laku seksual dalam golongan itu adalah pendidikan seksual tidak mencukupi, normalisasi kandungan seksual dalam drama serta kurangnya pengawasan daripada ibu bapa atau penjaga.