SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Persepsi negatif bahawa ramai penjawat awam terlibat dalam rasuah boleh menjadi racun kepada pembangunan negara, kata Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah.
Beliau berkata, tanggapan sedemikian, jika berterusan, boleh menjejaskan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap sistem pentadbiran serta persekitaran perniagaan negara.
"Apabila rakyat melihat bahawa undang-undang hanya berfungsi untuk golongan tertentu, manakala yang lain bebas melakukan salah laku tanpa dihukum, maka kepercayaan terhadap sistem mula luntur.
"Ia boleh mencetuskan sikap sinikal dalam kalangan rakyat, yang merupakan satu keadaan amat berbahaya kepada kelangsungan demokrasi,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Menurut beliau, rasuah merupakan antara penghalang utama dalam mencapai pembangunan mampan kerana ia mencetuskan budaya kerja tidak produktif serta menjejaskan mutu penyampaian perkhidmatan awam.
"Banyak kes menunjukkan projek infrastruktur yang sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat terbengkalai akibat penyelewengan dana.
"Keadaan ini bukan sahaja melambatkan proses pembangunan malah membebankan ekonomi negara. Ketirisan kewangan akibat rasuah memaksa kerajaan menanggung kos tambahan atau memotong peruntukan kepada sektor penting seperti pendidikan dan kesihatan,” katanya.
Dr Nor Halmey berkata, apabila jawatan atau kontrak diperoleh melalui sogokan dan bukan berdasarkan kelayakan, ia akan menyebabkan prestasi penjawat awam merosot, produktiviti nasional menurun dan daya saing negara di peringkat global terjejas.
Tambah beliau, ketidakpercayaan terhadap kerajaan turut memberi kesan langsung kepada sektor swasta apabila pelabur mula menarik diri kerana menganggap persekitaran perniagaan tidak telus dan tidak adil.
"Dalam menghadapi cabaran ini, integriti adalah kunci paling berkesan untuk memastikan pembangunan negara berlaku secara lestari dan seimbang.
"Amalan integriti dalam kalangan pemimpin, penjawat awam dan rakyat mampu memperkukuh institusi, mengelakkan pembaziran serta memastikan dasar dan pembangunan dilaksanakan dengan telus dan berkesan,” katanya.
Tambahnya lagi, negara yang menjunjung nilai integriti akan memiliki sistem tadbir urus yang diyakini, menarik pelaburan asing serta membentuk masyarakat yang bersatu dan sejahtera.