KUALA LUMPUR - Pengundian bagi pemilihan Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang PKR seluruh Kedah hari ini dibatalkan, dan ia akan dijalankan semula esok bermula jam8 pagi sehingga 5 petang.
Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) menerusi kenyataan di Facebook hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat tergempar hari ini.
"Semua anggota AMK dan wanita muda 35 tahun dan ke bawah diminta menjalankan pengundian semula untuk peringkat AMK cabang (seluruh Kedah),” katanya.
Selain itu, JPP memaklumkan tempoh pemilihan bagi peringkat cabang dan wanita PKR di negeri itu pada hari ini dilanjutkan daripada jam 5 petang kepada 8 malam.
"Anggota AMK dan wanita muda 35 tahun dan ke bawah diingatkan bahawa mereka (juga) perlu mengundi untuk peringkat cabang dan wanita pada hari ini sebelum jam 8 malam,” katanya.
Tarikh pemilihan bagi jawatan di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang ditetapkan bermula hari ini hingga 20 April secara berperingkat mengikut negeri, dengan PKR Kedah menjadi negeri sulung untuk mengadakan pemilihan parti hari ini.
Pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan diadakan pada 24 Mei ini. - Bernama