SUBANG JAYA – Seramai 87 keluarga mangsa insiden kebakaran gas di Putra Heights di sini telah mendaftar untuk penempatan sementara melalui platform Airbnb, hampir menyamai jumlah rumah yang mengalami kerosakan menyeluruh dalam kejadian tersebut.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, masih terdapat 16 keluarga lagi yang memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri sebelum membuat keputusan berhubung penempatan sementara.
"Kita juga sedang membuat semakan bagi menilai keperluan berpindah ke rumah sewa yang akan mula ditawarkan bermula 14 April ini.
"Antara pilihan yang disediakan termasuk rumah tanpa deposit milik kerajaan negeri,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Pendidikan di Dewan Masjid Putra Heights, di sini, pada Jumaat.
Amirudin memaklumkan, penawaran rumah tanpa deposit itu akan bermula Isnin atau Selasa depan dengan lokasi penempatan di Sepang serta beberapa kawasan lain sekitar Lembah Klang.
"Saya juga telah menerima beberapa tawaran daripada pemaju termasuk di Bukit Raja dan kita masih menunggu maklumat lanjut daripada mereka.
"Sekurang-kurangnya, mereka yang kurang berkemampuan mempunyai pilihan untuk mendapatkan penempatan kekal,” jelas beliau.
Tambahnya, bantuan sewa yang diberikan kali ini akan disalurkan secara sekaligus untuk tempoh dua atau tiga bulan bagi membantu penduduk menyelesaikan isu deposit rumah sewa baharu.
"Ini bertujuan meringankan beban mereka agar tidak perlu membayar secara bulanan.
"Malah, bantuan tunai yang mereka terima sebelum ini juga dianggarkan antara RM5,000 hingga RM10,000 seorang, bergantung kepada tahap kerosakan yang dialami,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri sedang mengumpulkan senarai unit rumah lain yang boleh ditawarkan kepada penduduk terjejas, termasuk rumah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan menerusi program Rumah Selangorku.
"Setakat ini, 100 unit telah disahkan dan kita akan kumpulkan lebih banyak unit.
"Minggu depan kita akan tawarkan kepada mereka, termasuk dokumen bantuan rumah sewa yang akan terus dimasukkan ke akaun penerima,” jelas beliau.
Menurutnya, rumah sewa yang ditawarkan kerajaan negeri mungkin sedikit jauh dari lokasi asal, namun ia tetap merupakan satu pilihan yang disediakan.
"Jika mereka memilih untuk menyewa di kawasan sekitar Putra Heights juga dibolehkan, menggunakan format permohonan biasa,” tambah beliau.