Sindiket ganja tumpas, 4 ditahan termasuk dua warga asing

Iklan
Sazlee (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, di sini pada Jumaat.

BALIK PULAU – Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis ganja selepas menahan empat individu termasuk dua warga asing yang menjadi dalang pembekalan dadah di sekitar daerah Barat Daya, di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, serbuan dijalankan di sekitar daerah Barat Daya dan Timur Laut pada Khamis membawa kepada pembongkaran penglibatan dua suspek lelaki warga Myanmar dan Bangladesh yang aktif mengedar dadah di negeri itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam serbuan pertama di Kampung Permatang Damar Laut, sepasang kekasih warga tempatan masing-masing wanita berusia 38 tahun dan seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan kira-kira jam 11 pagi.

"Tangkapan itu membawa kepada penahanan dua lelaki etnik Rohingya dan Bangladesh di sebuah rumah di Lengkok Pemanchar, Gelugor sekitar jam 3.30 petang bersama 17 ketulan ganja seberat 12.8 kilogram bernilai RM38,493.

Iklan

"Siasatan mendapati pasangan kekasih itu mendapatkan bekalan ganja daripada dua lelaki warga asing berkenaan sejak awal tahun lalu, yang mana setiap sekilogram ganja dibeli daripada pembekal pada harga RM1,200 dan dijual dengan anggaran RM3,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, di sini pada Jumaat.

Sazalee berkata, pasangan kekasih itu mengenali dua suspek warga asing berkenaan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis ganja. Kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta turut didapati positif dadah.

Iklan

Katanya, dua lelaki warga asing berusia 25 dan 30 tahun itu tidak memiliki rekod lampau namun lelaki warga Bangladesh itu didapati positif dadah.

"Selain dadah, turut disita dua buah motosikal jenis Honda EX5 dan Wave serta sebuah kereta jenis Toyota Camry bernilai RM13,500.

"Secara keseluruhan, nilai rampasan dadah dan sitaan dianggarkan berjumlah RM51,993,” katanya lagi.

Sazalee berkata, siasatan juga mendapati dua warga asing itu tidak mempunyai pekerjaan dan aktif mengedar dadah di daerah Timur Laut, manakala pasangan berkenaan pula di daerah Barat Daya.

Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 17 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.