Lelaki warga Sri Lanka ditemui mati tertiarap disyaki terkena renjatan elektrik

Iklan
Seorang lelaki warga Sri Lanka dan seekor anjing dipercayai maut terkena renjatan elektrik ditemukan di Lot 1313 Jalan Padu 25/127, Taman Alam Indah, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor pada Jumaat. - Foto: PDRM

SHAH ALAM – Mayat seorang lelaki warga asing dipercayai terkena renjatan elektrik ditemukan di Lot 1313, Jalan Padu 25/127, Taman Alam Indah, Seksyen 25, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 10.51 pagi daripada orang awam yang menemukan mayat berkenaan.

Iklan
Iklan

Hasil siasatan awal mendapati premis tempat penemuan mayat merupakan sebuah stor menyimpan barang-barang pembinaan yang turut dijadikan tempat tinggal oleh mangsa.

"Pemeriksaan lanjut di dalam premis menemukan satu mayat lelaki warga Sri Lanka berusia 27 tahun.

Iklan

"Mangsa dijumpai dalam keadaan tertiarap, memakai t-shirt merah berlengan pendek dan seluar pendek berwarna coklat,” katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Turut ditemukan seekor anjing mati di sisi mayat yang turut dipercayai terkena renjatan elektrik.

Iklan

Mohd Iqbal berkata, siasatan ke atas badan mangsa tidak menemukan sebarang kesan pergelutan atau kecederaan luaran yang boleh menyebabkan kematian.

Mayat telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk proses bedah siasat yang dijangka dijalankan pada petang Jumaat.

Tambah beliau, kes disiasat sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372,” katanya.