SYARIKAT perkhidmatan digital terkemuka Malaysia, MY E.G. Services Berhad (myEG) menandatangani perjanjian dengan Guangxi Beitou IT Innovation Technology Investment Group Co., Ltd. (Beitou IT Innovation) untuk menubuhkan makmal kecerdasan buatan (AI).
Selari dengan visi kerajaan Malaysia dan China untuk bekerjasama dalam bidang AI, myEG dan Beitou IT Innovation, sebuah syarikat milik penuh kerajaan Wilayah Guangxi dipilih untuk bersama-sama membina pusat inovasi dan kerjasama AI yang akan dikenali sebagai Makmal AI China-ASEAN Flagship.
Makmal tersebut bakal mengumpulkan syarikat AI terkemuka dari China dan ASEAN untuk bersama-sama membangunkan produk AI tempatan dan untuk menggerakkan aplikasi merentas sempadan.
Pengarah Urusan Kumpulan myEG, TS Wong berkata, pihaknya berbesar hati dan bangga dipilih oleh kedua-dua negara bagi menerajui inisiatif penting ini.
"Gabungan teknologi blok rantai, robotik, dan AI akan mencipta gelombang perkhidmatan baharu dan kami berada dalam kedudukan terbaik untuk menawarkan produk canggih generasi seterusnya.
"Kami turut berharap dapat mengembangkan kerjasama ini ke negara-negara ASEAN yang lain," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, pertukaran perjanjian itu disaksikan secara rasmi oleh Gabenor Wilayah Guangxi, Tuan Lan Tianli dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Sementara itu, Pengerusi Beitou IT Innovation Group, Lai Shuiping berkata, sebagai kumpulan teknologi digital terkemuka di Guangxi, ia berbangga dapat menghubungkan sumber AI China seperti LLM sumber terbuka, aplikasi AI dan bakat AI, dengan kes penggunaan AI di sektor awam dan swasta, industri serta akademik di Malaysia dan ASEAN.
"Melalui kerjasama rapat dengan rakan-rakan dagang kami di China dan Malaysia, kami yakin dapat meningkatkan produktiviti keseluruhan Malaysia dan ASEAN dengan memanfaatkan kuasa AI,” katanya.
Dalam pada itu, sebagai sokongan kepada kejayaan usaha bersama ini, kerajaan Wilayah Guangxi telah memperuntukkan dana sebanyak RMB10 bilion (RM6.05 juta) melalui dana pelaburan untuk menyokong pembangunan projek-projek seperti ini di bawah program China-ASEAN.
Di bawah kendalian myEG, makmal AI ini juga ini juga akan melibatkan penyertaan peneraju dalam bidang masing-masing seperti Deepseek dari China, syarikat robotik dan drone DJI dan Leju Robot, Huawei Technologies, Alibaba Group serta penyedia perkhidmatan IT Malaysia, Heitech Padu Berhad dan lain-lain.
Terletak di Zetrix Tower (sebelumnya myEG Tower) di Petaling Jaya, makmal AI ini akan memberi tumpuan kepada pertembungan teknologi blok rantai, generative AI, dan robotik dengan penekanan kepada aplikasi merentas sempadan dan penyesuaian perkhidmatan AI mengikut budaya dan nilai tempatan.
Perkhidmatan pertama yang akan diperkenalkan adalah pengiktirafan bersama untuk ID Digital nasional dari Malaysia dan China bermula dengan Wilayah Guangxi.
Perkhidmatan ini membolehkan warganegara Malaysia menggunakan MyDigital ID mereka untuk pelbagai keperluan pengesahan identiti di Wilayah Guangxi, terutamanya untuk keperluan KYC di institusi kewangan dan pelbagai tempat tarikan pelancong.
Pada masa yang sama, ID digital warganegara China akan diterima untuk pengesahan identiti di Malaysia.
myEG telah menjalin perkongsian eksklusif dengan agensi kerajaan China yang utama dan entiti berkaitan, termasuk China Academy of Information and Communications Technology (CAICT) dan General Administration of Customs of the People's Republic of China (GACC), meletakkan Zetrix, rangkaian blok rantai lapisan-1 awamnya sebagai platform pilihan untuk penerapan aplikasi Web3 dan AI yang boleh mengubah cara menjalankan transaksi merentas sempadan.